JOHOR BAHRU – Kampung Sungai Melayu dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTTP) di Johor sebelum inisiatif itu diperluaskan ke lebih banyak kawasan pelancongan di negeri ini pada tahun hadapan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pelaksanaan ZTTP di kawasan ekopelancongan tersebut menjadi nilai tambah dalam usaha meningkatkan keyakinan pelancong terhadap perkhidmatan dan urus niaga yang ditawarkan pengusaha tempatan.
Menurut beliau, Kampung Sungai Melayu dipilih kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Singapura selain menjadi antara destinasi pilihan pelancong dari Indonesia.
“Lokasi ini sedang pesat membangun dan menerima kehadiran pelancong yang ramai, khususnya dari luar negara.
“Justeru, kawasan ini dipilih sebagai projek perintis dan dijadikan penanda aras kepada aspek pematuhan undang-undang di kawasan pelancongan lain.
“Kawasan ini juga mempunyai pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang dikomersialkan. Sebab itu ZTTP diperkenalkan bagi memastikan pengusaha mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTTP) di Kampung Sungai Melayu di sini pada Khamis.
Sebelum ini, KPDN memaklumkan pihaknya memberi tumpuan kepada kawasan pelancongan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Program ZTTP bagi memastikan pengusaha mematuhi undang-undang berkaitan harga dan urus niaga.
Sebanyak 16 lokasi tumpuan pelancongan di seluruh negara, termasuk di Johor dan Melaka, dipilih sebagai projek perintis program berkenaan tahun ini.
Inisiatif itu bertujuan mewujudkan budaya perniagaan yang beretika selain memastikan pelancong tidak berdepan isu harga tidak munasabah, timbangan tidak tepat atau amalan perniagaan yang boleh menjejaskan imej destinasi pelancongan.
Menurut Lilis Saslinda, ZTTP merupakan kesinambungan kepada Program PATUH yang sebelum ini dilaksanakan di lapan lokasi pasar awam di seluruh Johor.
Katanya, konsep PATUH berteraskan lima prinsip utama yang menjadi panduan kepada peniaga dalam menjalankan urus niaga secara bertanggungjawab.
“Ia melibatkan penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang ditentusahkan, transaksi yang telus, urus niaga yang jujur serta harga yang berpatutan tanpa unsur pencatutan,” katanya.
Beliau berkata, paparan tanda harga yang jelas membolehkan pelancong membuat pilihan yang lebih bijak dan berdaya saing, sekali gus mengurangkan risiko ketidakpuasan hati dalam kalangan pengguna.
“Kita mahu memastikan semua peniaga yang terlibat dalam sektor pelancongan dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan serta membina reputasi yang baik untuk menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata, inisiatif tersebut mampu meningkatkan keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dari Singapura dan Indonesia yang kerap berkunjung ke Kampung Sungai Melayu.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu amat bertepatan dengan perkembangan kawasan berkenaan yang semakin menerima kehadiran pelancong susulan pelbagai pakej pelancongan menarik yang ditawarkan.
“Pematuhan terhadap kawalan harga ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana bukan sahaja melindungi pengguna, malah turut menjaga hak peniaga yang berusaha menjana pendapatan,” katanya.