SEREMBAN - Semua pihak diharap tidak menjadikan kemelut adat dan institusi Diraja Negeri Sembilan sebagai alasan untuk menganggu atau menyekat sebuah kerajaan negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, semua pihak wajib menghormati mandat rakyat negeri ini yang telah memilih sebuah kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga.
"Kerajaan negeri mesti diberikan ruang untuk menjalankan amanah tersebut secara sah, teratur dan berkesan tanpa sebarang campur tangan yang tidak berasaskan undang-undang, intimidasi, tekanan atau pun sekatan yang boleh menjejaskan fungsi sah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat," katanya dalam sidang akhbar bersama Exco di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak mencari pertelingkahan dengan Institusi Raja dan tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik.
Namun katanya, menghormati institusi Raja dan adat tidak bermakna menafikan fungsi kerajaan negeri yang telah diberikan mandat oleh rakyat.
"Begitu juga menghormati mandat demokratik kerajaan negeri tidak pernah bermaksud mengurangi kemuliaan atau kedudukan Institusi Raja.
"Kedua-duanya mempunyai kedudukan, fungsi dan bidang kuasa masing-masing di sisi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh dan tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah atau pun menjejaskan keupayaan kerajaan negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Selain itu, Ismail menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian mengenai adat dan institusi Raja.
Ujarnya, perkara tersebut hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing.
"Apa jua keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa menurut adat dan Undang-Undang Tubuh akan dihormati oleh kerajaan negeri,"katanya.
Tegasnya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang diberikan mandat rakyat dan memegang amanah kuasa eksekutif berperlembagaan, pihaknya akan terus mentadbir negeri ini, menjaga kepentingan rakyat dan mempertahankan keluhuran undang-undang.
Tambahnya, tanggungjawab beliau dan barisan Exco ialah memastikan pentadbiran kerajaan terus berjalan, rakyat terus diberikan perkhidmatan dan kemuliaan Institusi Adat serta Raja Negeri Sembilan terus dipelihara.
"Dalam menghadapi saat yang mencabar ini, kita perlu kembali kepada falsafah Negeri Sembilan sendiri 'Biar mati anak, jangan mati adat'. Adat hendaklah dipertahankan, perlembagaan hendaklah dijunjung, mandat rakyat hendaklah dihormati dan institusi hendaklah dipelihara," katanya.
.