GEORGE TOWN - Ketidaktentuan harga minyak dunia susulan konflik dan pergolakan di Asia Barat menjadi antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan rakyat terus dilindungi tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan dilihat sudah mengambil langkah bagi mengurangkan kesan turun naik harga minyak terhadap rakyat menerusi mekanisme subsidi bersasar termasuk BUDI95.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi menyediakan ‘buffer’ atau perlindungan kepada rakyat terutama ketika harga minyak berada pada paras tinggi akibat ketidaktentuan geopolitik.
“Setakat ini kita lihat komitmen kerajaan walaupun harga minyak masih terumbang-ambing malah berada pada 'high side' atau kedudukan yang tinggi akibat ketidaktentuan di Asia Barat yang masih bergolak.
“Sudah pasti peranan kerajaan dapat dilihat bagaimana kita menstabilkan dan mengurangkan impak kenaikan harga minyak kepada rakyat melalui BUDI95,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis KL20 Penang 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Akmal berkata demikian ketika mengulas bentuk perlindungan yang boleh diberikan kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027 susulan ketidaktentuan harga minyak dunia.
Sebelum ini, Akmal dilaporkan berkata, kenaikan harga minyak dunia tidak akan mengganggu perancangan pembangunan negara di bawah Belanjawan 2027.
Beliau berkata, perbelanjaan pembangunan negara bagi tahun hadapan akan diteruskan seperti yang dirancang meskipun kerajaan perlu menguruskan kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap subsidi dan ruang fiskal negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman berkaitan diesel sebelum ini juga menunjukkan usaha kerajaan memastikan perlindungan kepada rakyat kebanyakan terus tersedia walaupun pelaksanaannya dibuat secara bersasar dengan jumlah atau had tertentu.
“Walaupun berbentuk 'targeted', ada jumlah yang kita hadkan tetapi perkara itu cukup untuk membolehkan urusan dan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam masa sama, Akmal berkata, kerajaan berdepan keperluan mengimbangi perlindungan kepada rakyat melalui subsidi minyak dengan komitmen fiskal negara untuk terus memacu pertumbuhan dan pembangunan.
Justeru, katanya, isu berkenaan dijangka menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2027 khususnya bagi memastikan perancangan pembangunan negara tidak terjejas sekiranya harga minyak dunia terus berada pada paras tinggi dan tidak menentu.
“Dalam keadaan harga minyak masih tinggi dan penghujungnya masih tidak menentu, negara masih boleh terus merancang soal pembangunan dan kemajuan ekonomi kita,” katanya.