Sanggup bersesak daki Gunung Fuji demi buru matahari terbit

Iklan
Tempoh sebelum matahari terbit kekal sebagai waktu paling berisiko berlaku kesesakan teruk. Foto Agensi

TOKYO - Usaha Jepun mengawal kesesakan di Gunung Fuji yang terletak di sempadan wilayah Yamanashi dan Shizuoka menerusi pelaksanaan peraturan baharu masih belum dapat menghalang ribuan pendaki daripada berhimpit di laluan menuju puncak terutamanya beberapa jam sebelum matahari terbit.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan apabila pendaki yang mahu menyaksikan matahari terbit berkumpul serentak di kawasan berhampiran puncak hingga menyebabkan laluan menjadi terlalu padat dan sukar dilalui.

Iklan
Iklan

Sepanjang musim pendakian dari 1 Julai hingga 10 September lalu, kira-kira 245,000 pendaki menggunakan empat laluan utama; Yoshida di bahagian Yamanashi dan laluan Subashiri, Gotemba serta Fujinomiya di bahagian Shizuoka yang mengatasi rekod sebelum sekatan diperkenalkan.

Antara langkah yang diperkenalkan ialah bayaran mendaki dan sekatan jumlah pendaki bagi mengurangkan kesesakan serta menghalang aktiviti bullet climbing iaitu pendakian pada waktu malam tanpa bermalam di pondok gunung.

Iklan

Kesesakan luar biasa di laluan pendakian demi menyaksikan pemandangan menakjubkan. Foto Agensi

Di laluan Yoshida di wilayah Yamanashi, jumlah pendaki dihadkan kepada 4,000 orang sehari. Pintu masuk turut ditutup antara jam dua petang hingga tiga pagi (waktu tempatan) kecuali kepada pendaki yang menginap di pondok gunung. Bayaran mendaki pula ditetapkan sebanyak 4,000 yen (RM103) seorang.

Iklan

Namun, sekatan itu tidak banyak mengubah corak pendakian menjelang matahari terbit. Analisis pergerakan pendaki di kawasan dari stesen kesembilan hingga ke bawah puncak mendapati mereka masih tertumpu di laluan berkenaan sebelum matahari terbit manakala kesesakan paling ketara berlaku antara jam tiga hingga lima pagi (waktu tempatan).

Waktu paling berisiko

Pada 16 Ogos lalu, keadaan sesak dilaporkan berlaku berhampiran stesen kesembilan laluan Yoshida. Salah seorang pendaki dari Tokyo memberitahu beg galasnya beberapa kali dilanggar dari arah belakang yang berisiko menyebabkannya hilang keseimbangan.

Petugas yang ditempatkan di kawasan berkenaan turut memberi amaran bahawa pergerakan yang tidak terkawal boleh meningkatkan risiko pendaki terjatuh atau menyebabkan runtuhan batu.

Menurut persatuan pemandu arah Gunung Fuji, tempoh sebelum matahari terbit kekal sebagai waktu paling berisiko berlaku kesesakan teruk.

Masalah itu bukan sahaja menyebabkan pendaki cuba memotong barisan malah memaksa mereka berada lebih lama dalam keadaan cuaca ekstrem di kawasan tanah tinggi.

Kawasan itu biasanya padat dengan pendaki antara jam tiga hingga lima pagi (waktu tempatan). Foto Agensi

Pihak berkuasa kini merancang menggunakan alat pengukur inframerah yang dipasang berhampiran puncak bagi merekod pergerakan pendaki dan menilai tahap kesesakan dengan lebih tepat.

Pada masa sama, cadangan untuk melebarkan bahagian laluan yang sempit masih belum dapat dilaksanakan kerana kawasan berkenaan merupakan zon perlindungan khas di bawah Undang-Undang Taman Semula Jadi Jepun.

Sejak 2024, Tokyo memperkenalkan sekatan pendakian secara berperingkat bagi menangani kesesakan dan tingkah laku pendakian berisiko di Gunung Fuji.

Namun, fenomena ‘sunrise rush’ menunjukkan cabaran bukan hanya berpunca daripada jumlah pendaki, malah corak pendakian apabila mereka berpusu-pusu menuju ke puncak pada waktu yang sama bagi menyaksikan matahari terbit. - Agensi