SEREMBAN - Meskipun digantung tugas oleh kerajaan Negeri Sembilan, namun Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim tetap menjalankan tugasnya seperti biasa.
Beliau dihubungi Sinar Harian memberitahu, akur dengan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk terus kekal bertugas di Negeri Sembilan.
"Cumanya hari ini saya ada tugasan rasmi di luar," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan pada mesyuarat khasnya sebulat suara menggantung Mohd Zafir dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Susulan penggantungan berkenaan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas SUK hingga SUK baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), manakala tugas memberi nasihat perundangan pula akan dilaksanakan Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Selain itu, Mohd Zafir berkata, berkenaan penggantungan terbabit, beliau turut mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-Undang dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengatakan arahan penggantungan tersebut adalah tidak sah.
"Setakat ini saya juga tidak terima apa-apa surat rasmi berkenaan penggantungan tugas melainkan kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar," katanya.