Raja Jordan: 'Nafsu perluasan' Israel ancam Asia Barat

Iklan
Raja Abdullah II. - AFP

NEW YORK – Raja Jordan, Raja Abdullah II memberi amaran bahawa apa yang disifatkannya sebagai ‘nafsu perluasan’ kerajaan Israel kini menjadi ancaman kepada keselamatan dan kestabilan rantau Asia Barat.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Selasa, beliau menyorot tindakan Israel di Gaza, Tebing Barat yang diduduki serta selatan Syria.

Iklan
Iklan

“‘Nafsu perluasan’ kerajaan Israel ini kini menjadi ancaman serantau,” katanya.

Menurut Raja Abdullah, perkembangan di Syria khususnya perlu menjadi amaran kepada masyarakat antarabangsa mengenai risiko konflik merebak lebih luas.

Iklan

“Selangkah demi selangkah yang dirancang, Israel sedang menguji sejauh mana ia boleh pergi,” tegasnya.

Beliau berkata, setiap kali masyarakat antarabangsa memilih untuk tidak bertindak, Israel mendapat ruang untuk bergerak lebih jauh merentasi sempadan dan batas undang-undang.

Iklan

Raja Abdullah turut mempersoalkan keberkesanan undang-undang antarabangsa jika pelanggarannya dibiarkan berterusan tanpa tindakan.

“Jika undang-undang antarabangsa boleh diabaikan selama beberapa dekad, apakah sebenarnya nilai undang-undang itu?” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengaitkan perkembangan tersebut dengan konflik berpanjangan di Palestin yang menurutnya tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian.

Raja Abdullah menegaskan Jordan akan terus komited kepada keamanan yang adil, menyokong ketahanan rakyat Palestin serta mempertahankan status quo bersejarah dan undang-undang di tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis. – AFP