SHAH ALAM – Polis sedang mengesan pemilik dan kru sebuah bot nelayan yang didakwa tidak mengambil mayat seorang mangsa tragedi bot karam di perairan One Fathom Bank, berhampiran Pulau Ketam, Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu, termasuk mendapatkan keterangan daripada individu terbabit bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya, berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang telah dirakam, terdapat kemungkinan mayat berkenaan melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan pemancing sama.
"Ini kerana pengecaman tidak dapat dijalankan pada waktu tersebut susulan keadaan mayat berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan keluarga mangsa yang mempertikaikan mengapa mayat tidak diambil ketika empat mangsa terselamat ditemui.
Ia susulan tular rakaman video menunjukan empat pemancing dalam tragedi bot karam itu diselamatkan, namun satu mayat yang berada bersama mereka tidak diambil bot nelayan tersebut.
Dalam tragedi ketika aktiviti memburu ikan cencaru pada 13 September lalu, empat mangsa yang terselamat ialah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45; Muhd Hamiszar Punirain, 45; serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd Shahril dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, manakala Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, masih belum ditemui.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata, setakat Selasa, keterangan mangsa bot karam itu telah diambil, namun ada beberapa individu terutama saksi lain yang belum dirakam kerana tahap kesihatan belum mengizinkan.
"Polis sedang berusaha melengkapkan siasatan termasuk mengesan nelayan dan pemilik bot yang digunakan seperti didakwa itu.
"Kita usahakan untuk mendapatkan maklumat dan melengkapkan hasil siasatan," ujarnya.