Isu peniaga BSS: MBDK sedia tapak baharu untuk penjaja

Iklan
Peniaga terbabit ditempatkan semula di Tapak Penjaja Berpusat (TPB) Jalan Sultan Abdul Samad 34.

KLANG – Seramai 12 peniaga yang masih menjalankan perniagaan di kawasan parkir Masjid As-Sa’adah, Bandar Sultan Suleiman (BSS) di sini tanpa kebenaran berdepan tindakan penguatkuasaan selepas enggan berpindah ke tapak penjaja baharu yang disediakan.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan, peniaga terbabit sepatutnya berpindah ke Tapak Penjaja Berpusat (TPB) Jalan Sultan Abdul Samad 34 susulan tamat tempoh kebenaran penggunaan tapak sementara di kawasan parkir masjid berkenaan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, setakat ini empat peniaga dari lokasi berkenaan telah memulakan operasi di TPB Jalan Sultan Abdul Samad 34.

“Bagaimanapun, terdapat 12 peniaga yang enggan berpindah dan terus menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan parkir tersebut tanpa kebenaran.

Iklan

“Selaras dengan penyerahan semula tapak kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDTK), perancangan majlis adalah untuk memastikan kawasan parkir berkenaan dikosongkan sepenuhnya daripada sebarang aktiviti penjajaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, sebarang aktiviti perniagaan yang masih dijalankan di kawasan berkenaan adalah di luar kebenaran rasmi dan merupakan pelanggaran undang-undang yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang kecil berkaitan.

Iklan

Norfiza berkata, keputusan menyusun dan menempatkan semula peniaga dari Tapak Penjaja Sementara Masjid As-Sa’adah ke TPB Jalan Sultan Abdul Samad 34 diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Dan  Kawalan Perniagaan sebelum disahkan dalam Mesyuarat Penuh pada tahun sama.

Menurutnya, langkah itu dibuat selepas tamat tempoh kebenaran penggunaan tapak sementara yang diberikan PDTK kepada MBDK.

Katanya, MBDK turut mengemukakan surat penyerahan semula rasmi kawasan parkir Masjid As-Sa’adah kepada PDTK pada 20 Mei lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan secara berfasa turut dilaksanakan di Lingkaran Sultan Abdul Samad 2 dengan 12 struktur perniagaan tanpa lesen telah dialihkan dan dirobohkan.

“Operasi bagi fasa ketiga dijadualkan berlangsung pada September yang merangkumi kawasan parkir Masjid As-Sa’adah, BSS.

“Majlis akan meneruskan pemantauan berkala dan tindakan penguatkuasaan secara berperingkat bagi memastikan kawasan parkir itu dikembalikan sepenuhnya kepada fungsi asal,” katanya.

Tambahnya, langkah berkenaan juga bagi memastikan aktiviti penjajaan diselaraskan secara sistematik di tapak berpusat yang disediakan.

Dalam pada itu, MBDK memandang serius kenyataan beberapa pempengaruh media sosial yang didakwa memutarbelitkan isu berkenaan serta membuat tohmahan.

Menurut MBDK, perkara itu kini dalam perhatian pihaknya bagi tindakan perundangan selanjutnya.