SHAH ALAM - Sindiket menjerat warga asing sebagai 'keldai dadah' dengan tawaran melancong ke Malaysia dengan upah sehingga RM6,000 bagi menyeludup keluar bunga ganja melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibongkar baru-baru ini.
Seramai 12 suspek ditahan membabitkan 11 warga asing disyaki keldai dadah dan seorang tempatan merupakan 'runner' telah diberkas menerusi 10 siri serbuan bermula 28 Ogos hingga 21 September lalu di Terminal KLIA serta Sepang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil operasi ini merampas 671 bungkusan plastik bunga ganja 418 kilogram bernilai RM33.4 juta yang disorok dalam bagasi keldai itu.
Menurutnya, siasatan mendapati kesemua keldai dadah itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
"Warga asing terbabit berasal dari Asia Timur, Amerika Selatan serta Eropah dan dipercayai ditawarkan pakej melancong di sekitar Lembah Klang selama sekitar seminggu dengan upah antara RM5,000 hingga RM6,000.
"Bila kesemua mereka sudah sampai sini (Malaysia), mereka diminta membawa pulang bagasi yang kebanyakannya diserahkan di lobi hotel-hotel yang ditetapkan.
"Destinasi akhir dadah itu adalah untuk pasaran di sekitar Eropah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kes ini melibatkan sembilan sindiket dadah berlainan.
Tambahnya, siasatan terhadap 'runner' dadah warga tempatan itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini, namun dipercayai pembabitannya tidak melibatkan dengan kesemua sindiket.
Menerusi operasi itu, polis turut menyita dua buah kenderaan masing-masing jenis Perodua Alza dan Toyota Vios selain pelbagai mata wang yang dianggarkan keseluruhan RM37,700.
"Enam suspek telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi suspek masih dalam siasatan," ujarnya.
Tegas beliau, tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang terancang dan memberi ancaman kepada kepada masyarakat.