NEW DELHI – Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dilapor merogol secara berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah taman berhampiran Kuil Kalkaji, Delhi pada Isnin.
Polis memaklumkan, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 25 hingga 30 tahun itu kemudian mengugut mangsa dan rakan lelakinya sebelum melarikan diri.
Menurut aduan mangsa, dia pergi ke Kuil Kalkaji bersama rakannya yang juga berusia 17 tahun kira-kira jam 7 malam waktu tempatan untuk berdoa sebelum mereka berkunjung ke sebuah taman berhampiran kuil sekitar jam 7.30 malam waktu tempatan.
Ketiga-tiga suspek kemudian menghampiri mereka dan mendakwa mereka anggota polis.
Polis berkata, suspek mengugut kedua-dua remaja berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka didakwa mengacukan senjata api dan pisau terhadap mangsa lalu melakukan serangan seksual.
Dua lagi suspek kemudiannya turut didakwa melakukan serangan seksual terhadap mangsa.
Panggilan kecemasan kepada Polis Delhi mengenai kejadian itu diterima kira-kira jam 8.45 malam waktu tempatan dari taman yang menghubungkan kawasan Kuil Kalkaji dan Kuil ISKCON.
Pasukan polis yang tiba di lokasi membawa mangsa untuk menjalani pemeriksaan perubatan, manakala siasatan lanjut dijalankan berdasarkan keterangannya.
Polis turut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan sekitar taman bagi mengenal pasti suspek serta mengesahkan kronologi kejadian.
Beberapa pasukan khas kemudian ditubuhkan untuk mengesan ketiga-tiga suspek.
Dalam operasi itu, polis menerima maklumat mengenai pergerakan salah seorang suspek berhampiran DM Office Road, Amar Colony sebelum perangkap dipasang bagi menahannya.
Polis mendakwa suspek terbabit melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan ketika cuba ditahan.
Walaupun diarahkan menyerah diri, suspek yang dikenal pasti sebagai Asif itu didakwa melepaskan tiga das tembakan ke arah polis sebelum ditembak pada kaki kanan.
Asif yang bekerja di Okhla Mandi, kemudian ditahan.
Dua lagi suspek, masing-masing dikenali sebagai Hemant dan Mukesh turut ditahan polis pada Selasa.
Kes itu didaftarkan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).
Empat kes dalam tempoh 10 hari
Kes di Kalkaji itu merupakan kejadian keempat membabitkan dakwaan serangan seksual terhadap kanak-kanak di Delhi dalam tempoh 10 hari.
Pada 13 September, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun didakwa dirogol secara berkumpulan sebelum dibunuh oleh empat individu, termasuk tiga remaja di Swaroop Nagar, Delhi Utara.
Pada 16 September pula, seorang pelajar perempuan Tahun Enam berusia 10 tahun didakwa diserang secara seksual selepas tangan dan kakinya diikat di dalam sebuah kedai di kawasan Sadar Bazar, Delhi Utara.
Sehari sebelum penahanan tiga suspek dalam kes Kalkaji, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun turut didakwa diserang secara seksual oleh seorang lelaki berusia 34 tahun di kawasan Kishan Ganj, Delhi Tengah. - Agensi