MALAYSIA terus mencuri perhatian komuniti permotoran antarabangsa apabila IAME Siri Asia 2026 merekodkan penyertaan tertinggi sepanjang penganjurannya di rantau ini.
Pengarah Eksekutif Kinex Private Limited dan IAME Siri Asia, Daniel Ling berkata, kelebihan Malaysia bukan sekadar kos penganjuran yang kompetitif, malah suasana, layanan masyarakat, makanan dan kualiti litar turut menjadi tarikan.
“Apa yang saya dengar daripada komuniti setakat ini ialah mereka memang menyukai Malaysia kerana rakyatnya mesra, makanan, suasana dan litar juga sangat baik,” katanya ketika ditemui media di LYL International Karting Circuit, Sungai Long, Cheras.
Pusingan Keenam IAME Siri Asia 2026 merekodkan 122 pelumba berdaftar, mengatasi 119 pelumba pada pusingan sebelumnya, sekali gus menjadi angka penyertaan tertinggi bagi satu jenama dalam siri berkenaan di rantau ini.
Menurut Daniel, kesanggupan pelumba luar negara menanggung kos lebih tinggi untuk beraksi di Malaysia menunjukkan faktor pengalaman dan penerimaan komuniti tempatan turut memainkan peranan.
“Mereka sebenarnya membayar lebih untuk datang berlumba di sini, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana berasa dialu-alukan, gembira dan menjadi sebahagian daripada negara serta komuniti yang menakjubkan ini,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman positif itu turut dirasai pasukan dari Australia yang menyifatkan suasana di paddock Malaysia berbeza daripada pengalaman mereka ketika menyertai perlumbaan di negara sendiri.
Bagi memastikan pelumba antarabangsa tidak berdepan kesukaran, penganjur turut menyediakan kemudahan berkaitan penginapan, pasukan tempatan, urusan kastam serta pengangkutan logistik dari gudang ke litar.
Dalam masa sama, sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia dilihat membantu mengukuhkan kedudukan IAME Siri Asia, selain membuka ruang untuk Malaysia muncul sebagai hab sukan permotoran serantau.
“Mulai tahun depan, kami mahu mengembangkan arena sukan permotoran di Malaysia dengan mewujudkan Kinex Motorsport di negara ini, membawa segala operasi kembali ke Malaysia dan menjadikannya hab serta ibu pejabat operasi kami,” katanya.
Dari aspek pembangunan bakat, IAME Siri Asia menyediakan laluan berperingkat menerusi Kinex Rising Stars Academy, IAME Straits Cup dan akademi menggunakan kereta formula bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pelumba muda.
Antara bakat yang pernah melalui siri berkenaan termasuk Bianca Bustamante, Yvan David, Christian Ho dan pelumba negara, Putera Adam, sebelum mereka mengembangkan karier dalam perlumbaan formula serta GT.
Selain pembangunan sukan, penganjuran IAME Siri Asia turut memberi kesan kepada sektor pelancongan apabila Daniel menganggarkan kira-kira RM15 juta dibawa masuk ke Malaysia menerusi inisiatif Visit Malaysia 2026 sepanjang beberapa pusingan tahun ini, berdasarkan kira-kira 500 penyertaan termasuk kehadiran mekanik, ahli keluarga dan penyokong.