MMKN Negeri Sembilan tiada kuasa gantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri - AGC

Iklan
AGC memaklumkan, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan itu masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan

KUALA LUMPUR - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan itu masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, seperti diperuntukkan dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Iklan
Iklan

Kenyataan itu susulan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengenai penggantungan tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berkuat kuasa serta-merta.

AGC turut menjelaskan bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu, pelantikan hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS, iaitu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Iklan

Terdahulu, Ismail mengumumkan penggantungan tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat khas MMKN.

Perkembangan itu berlaku ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan berhubung proklamasi bertarikh 19 April 2026 mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Iklan

Pada 17 September, AGC menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959, selain menegaskan Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.

Pejabat SUK Negeri Sembilan kemudian memaklumkan pentadbiran negeri tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi itu, selaras dengan pandangan AGC.

Dalam perkembangan terbaharu, AGC kini menegaskan pula kuasa berkaitan pelantikan dan penggantungan tugas SUK serta Penasihat Undang-Undang Negeri bukan terletak pada MMKN, sebaliknya tertakluk kepada bidang kuasa suruhanjaya seperti diperuntukkan dalam Perkara 37 UUTKNS.