'Orang luar, PM dan AGC jangan campur urusan takhta Negeri Sembilan'

Iklan
Undang Yang Empat (Undang dipertikai) mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan mereka.

SEREMBAN – Undang Yang Empat (Undang yang dipertikai) dan Tunku Besar Tampin mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif serta hak perlembagaan mereka.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan, mereka menegaskan kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan adat prerogatif yang turut termaktub di dalam Perkara 7, Perkara 10 serta Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Iklan
Iklan

"Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan kami selaku Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959, di samping memelihara kedudukan kami sebagai Raja Pemerintah negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959," kata mereka.

Mereka turut mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan.

Iklan

Katanya, tindakan yang tidak berperlembagaan sebegitu jika diteruskan merupakan satu pelanggaran sumpah Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam, selain pecah amanah terhadap Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, mereka menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan kerajaan negeri ini terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menaguk di air keruh.

Iklan

Tegas mereka lagi, jangan memutarbelitkan mandat rakyat sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap kerajaan negeri dan Institusi Adat serta pemerintahan Negeri Sembilan.

"Adat yang telah diamalkan ini telah berlangsung lebih daripada 500 tahun, sudah tentulah kami selaku Raja Pemerintah dan Ketua Adat lebih memahami apa yang berlaku.

"Kami menegaskan bahawa tindakan Tunku Muhriz mengarahkan pengumuman untuk memberhentikan barisan Exco ialah salah, tidak berperlembagaan dan tiada kuat kuasa," katanya.

Pembesar adat itu turut mendakwa, tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan selain cubaan menghalang Raja Pemerintah menjalankan pemerintahan.