SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijadualkan akan menghadap Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dalam Majlis Menghadap Sembah Takzim di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini pada Rabu.
Pertemuan pada jam 9 pagi itu diadakan bagi sesi suai kenal dan mengeratkan silaturahim antara Menteri Besar serta barisan Exco dengan Tunku Nadzaruddin.
Turut dijangka hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Undang Yang Empat (Undang yang dipertikai), Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Sebelum ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Sehubungan dengan itu katanya, Menteri Besar hendaklah mempersembahkan senarai calon Exco yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia menurut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Susulan itu, Ismail dalam kenyataannya berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.