KOTA BHARU - Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengambil alih sepenuhnya kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pas meninggalkan gabungan itu, tidak boleh diputuskan oleh parti berkenaan secara bersendirian.
Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan, sebarang keputusan berkaitan keanggotaan Majlis Tertinggi PN perlu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi.
"Apa jua bentuk pendekatan, tindakan, langkah politiknya, nak dilantik Pengerusi, nak dilantik ahli Majlis Tertinggi, semua kena masuk dalam mesyuarat.
Media sebelum ini melaporkan, Bersatu bersedia mengambil alih sepenuhnya kepimpinan PN sekiranya Pas membuat keputusan meninggalkan gabungan tersebut demi membentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin, partinya tidak gentar atau bergantung semata-mata kepada Pas, memandangkan asas penubuhan PN sejak awal diterajui oleh Bersatu.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, mesyuarat yang sepatutnya berlangsung 19 September lalu bagaimanapun ditangguhkan atas beberapa faktor.
Jelasnya, tarikh baharu mesyuarat itu masih belum diputuskan, namun beliau mengesahkan ia akan diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.