Pemuda MCA gesa KDN tubuh panel bebas, RCI siasat dakwaan dadah ‘bolos’ di penjara

Iklan
Choo Seong berkata, meskipun Jabatan Penjara menafikan dakwaan Yassin namun siasatan menyeluruh perlu dibuat.

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menubuhkan panel bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan sindiket penyeludupan dadah yang beroperasi dalam institusi penjara.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, dakwaan terbaharu seorang bekas warden penjara mengenai kemunculan individu berpengaruh mengawal kegiatan penyeludupan bahan terlarang seperti dilapor sebuah portal berita itu perlu diteliti dengan serius.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, meskipun Jabatan Penjara turut menafikan dakwaan dibuat penyanyi dan komposer, Yassin Sulaiman bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah semasa menjalani hukuman di balik tirai besi, namun siasatan menyeluruh perlu dibuat.

“Tembok penjara diwujudkan untuk melindungi masyarakat dan membantu proses pemulihan, bukannya menjadi pelindung kepada rangkaian jenayah daripada penelitian.

Iklan

Yassin sebelum ini membuat dakwaan dadah masih ‘bolos’ di penjara ketika menjadi tetamu dalam sebuah program audio siar.

Bagaimanapun, beliau tampil memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu selepas penafian dibuat Jabatan Penjara.

Iklan

Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, dakwaan mengenai kegiatan penyeludupan dalam penjara juga perlu diberi perhatian kerana ia membabitkan soal integriti, akauntabiliti dan keberkesanan sistem pemulihan banduan.

Beliau dalam masa sama turut menggesa supaya banduan yang tampil mendedahkan dakwaan amalan rasuah dalam kalangan pegawai penjara wajar dianggap sebagai pemberi maklumat (whistleblower) dan diberikan perlindungan sewajarnya.

“Pada masa sama, dakwaan mereka juga perlu melalui proses penelitian yang rapi serta disahkan secara bebas bagi mengelakkan dakwaan yang direka-reka atau dibuat atas dasar tindakan balas,” katanya.