KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman denda RM12,000 ke atas seorang pemandu van pelancong selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya dua anak tiri lelakinya dengan menampar pipi serta memukul menggunakan anak lesung batu dan seterika, bulan lepas.
Hakim Suhaila Haron turut memerintahkan Joharis Mahmod, 48, menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda selain dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam bagi setiap pertuduhan.
Joharis didakwa atas dua pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap anak tirinya berusia sembilan tahun lima bulan dan 17 tahun enam bulan sehingga mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kepala.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Cheras di sini antara jam 10.30 malam hingga 11 malam 13 Ogos dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat seorang guru wanita dan siasatan mendapati lelaki itu mencederakan mangsa yang berusia sembilan tahun lima bulan dengan menampar pipi kiri dan kanan kanak-kanak itu sebanyak lima kali.
Joharis juga mencederakan mangsa kedua dengan menggunakan anak lesung batu dan seterika.
Pemeriksaan awal doktor mengesahkan terdapat kesan lebam pada pipi kiri dan kanan mangsa pertama manakala beberapa kesan lebam pada belakang badan dan kulit kepala pada mangsa kedua.
Timbalan Pendakwa Raya Md Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada lelaki itu dan masyarakat supaya menjaga anak yang diamanahkan kepada mereka.
Joharis yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan kerana dirinya yang berpendapatan RM3,500 sebulan menanggung keluarga manakala isterinya tidak bekerja.
"Saya janji tidak akan melakukan kesalahan ini lagi,” katanya dalam keadaan sebak. - Bernama