MELAKA - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa Rabu, 23 September 2026 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN Melaka serta memohon perkenan untuk pembubaran berkenaan.
Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenan supaya DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok.
"Dengan pembubaran ini esok, maka berakhirlah penggal DUN Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan.," katanya pada sidang media khas di Seri Negeri pada Selasa.
Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka atas perkenan serta kebijaksanaan dalam melaksanakan fungsi yang diperuntukkan.
Beliau pada masa sama memberi jaminan bahawa pembubaran DUN tidak bermakna urusan kerajaan negeri terhenti.
"Selepas pembubaran ini, kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab dalam kapasiti sebagai Kerajaan Sementara atau Caretaker Government sehingga sebuah Kerajaan Negeri dibentuk selepas proses pilihan raya," katanya.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Justeru semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa.
"Negeri ini akan terus ditadbir dengan baik. Perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan dan kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan kita," katanya.