PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini mencari calon untuk mengisi kerusi Presiden yang masih kosong menjelang kongres pemilihan semula dijangka pada Disember ini.
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, ia susulan kepimpinan sebelumnya iaitu bekas Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dan bekas Timbalan Presiden, Datuk Azman Ismail, masing-masing menarik diri.
"Sekarang jawatan itu terbuka kepada sesiapa sahaja warganegara Malaysia.
“Kami amat mengalu-alukan mana-mana tokoh bola sepak di negara ini untuk bertanding,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menggantung keahlian KAFA susulan isu kesahihan Kongres KAFA ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2024 hingga 2028.
Keputusan mengadakan kongres dan pemilihan semula ini adalah perkembangan positif daripada pertemuan antara Kafa, Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan FAM pada 12 Jun lalu.
Husin berkata, hasrat pihaknya untuk mengadakan kongres semula sebelum September terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pelaksanaan Kongres Luar Biasa FAM dan tarikh baharu akan dibincangkan bersama FAM dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, KAFA turut menyeru agar hali-ahli gabungannya mengemas kini dan membuat semakan status persatuan masing-masing dengan PJS bagi memastikan kelayakan mengundi pada kongres serta pemilihan semula nanti.
Katanya, seruan ini dibuat susulan pihaknya turut dimaklumkan oleh FAM bahawa antara punca kongres dan pemilihan sebelum ini dibatalkan adalah berpunca daripada ahli gabungan Kafa sendiri.
"Kongres dan pemilihan semula adalah ruang terbaik untuk memperbetulkan kesilapan.
"Kami sudahpun serahkan surat rasmi kepada FAM untuk memohon bantuan mereka menentukan status masing-masing dengan PJS, siapa yang patut hadir ke kongres dan terlibat dalam pemilihan,” ujarnya.