KUALITI kemudahan dan prasarana Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi antara kelebihan utama yang meletakkan stadium itu sebagai pilihan sesuai untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala FA 2026/2027 pada 16 Januari tahun depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, pemilihan gelanggang milik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak perlu dipertikaikan hanya kerana ia merupakan stadium pasukan dari negeri berkenaan.
Sebaliknya jelasnya, keupayaan venue memenuhi keperluan penganjuran perlawanan berprofil tinggi perlu menjadi pertimbangan utama bagi memastikan aksi kemuncak berlangsung lancar, tanpa dibayangi tanggapan bahawa pemilihan itu memberi kelebihan kepada mana-mana pasukan.
Beliau turut berpandangan, pemain pastinya tidak melepaskan peluang untuk beraksi di stadium berkualiti seperti SSI, malah kemeriahan pentas final seharusnya menjadi dorongan tambahan untuk mereka mempamerkan aksi terbaik.
“Bagi saya, tiada masalah aksi final dijalankan di SSI dan saya tidak nampak sebarang isu atau perkara yang boleh menimbulkan persepsi berat sebelah.
“Jika kita lihat sejarah sebelum ini, Stadium Shah Alam juga pernah menjadi venue perlawanan akhir Piala FA ketika Selangor sendiri beraksi dalam perebutan kejuaraan pada edisi 2005 dan 2008.
“Jadi, saya tidak fikir pemilihan SSI sebagai venue final kali ini perlu dijadikan isu kerana kita pernah menyaksikan situasi sama apabila pasukan tuan rumah atau pasukan yang beraksi di stadium berkenaan turut mara ke pentas final,” katanya.
Bagi Zulakbal, pentas final sepatutnya menjadi medan untuk pemain membuktikan kemampuan dan semangat juang, bukannya ruang untuk menjadikan faktor lokasi sebagai persoalan utama.
Beliau percaya pemain yang benar-benar dahagakan kejayaan akan tetap memberikan komitmen terbaik, tanpa mengira stadium yang dipilih sebagai gelanggang perlawanan.
“Saya percaya mana-mana pemain tetap bersemangat untuk bermain di pentas final tidak kira di venue mana sekalipun.
“Jika seseorang pemain benar-benar mempunyai semangat juang, dia pasti menyukai cabaran dan suasana untuk beraksi dalam perlawanan akhir di stadium berkenaan.
“Apatah lagi, penganjur pastinya mahukan kelancaran dalam semua aspek sepanjang perlawanan akhir itu dan SSI merupakan sebuah stadium bola sepak yang berkualiti,” katanya.
Rekod Piala FA sebelum ini turut menyaksikan Selangor beraksi dalam dua perlawanan akhir yang berlangsung di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam.
Pada edisi 2005, Selangor berjaya membawa pulang trofi selepas menewaskan Perak 4-2, namun gagal mengulangi pencapaian itu tiga tahun kemudian apabila tewas 2-3 kepada Kedah pada final 2008.
Justeru, Zulakbal berpendapat pemilihan SSI tidak wajar dijadikan polemik, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada kelancaran penganjuran serta usaha memastikan perlawanan akhir itu mampu menarik minat dan memberikan pengalaman terbaik kepada penyokong.
Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan SSI sebagai gelanggang perlawanan akhir Piala FA 2026/2027 yang dijadual berlangsung pada 16 Januari 2027.
Pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga bagi Penggal 2025-2029 pada 3 November lalu selepas Stadium Nasional tidak dapat digunakan berikutan kerja menaik taraf padang, trek balapan dan kemudahan stadium bagi persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.