Ayob Khan dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM baharu

Iklan
Ayob Khan

MELAKA - Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun.

Ayob Khan dilantik berkuat kuasa 16 September lalu menggantikan Datuk Husaini Omar yang telah tamat tempoh perkhidmatan selepas mendapat kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Iklan
Iklan

UTeM dalam kenyataan berkata, pengalaman luas Ayob Khan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi diyakini mampu memperkukuh peranan Lembaga Pengarah dalam memecu hala tuju strategik universiti.

“UTeM percaya pengalaman hebat beliau, berpakejkan kewibawaan pengurusan strategik tahap tinggi mampu memimpin Lembaga Pengarah UTeM dalam mendepani cabaran mendatang,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Ayob Khan berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai pengalaman hampir 35 tahun dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam pasukan keselamatan berkenaan.

Berdasarkan rekod lalu beliau dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada 2020 - 2022 sebelum meneruskan khidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Iklan

Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada tahun 2023.

Beliau bersara wajib daripada perkhidmatan PDRM pada Julai 2026 selepas hampir tiga setengah dekad menabur bakti dalam pasukan berkenaan.