PUTRAJAYA – Pemantauan dan maklumat yang diperoleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) setakat ini belum menemui bukti populasi ikan larangan iaitu piranha telah bertapak dan membiak di Empangan Klau, Raub susulan penemuan spesies itu pada 26 Ogos lalu.
Namun, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan terus dilaksanakan DOF bagi mengesan sebarang perkembangan baharu.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah menjalankan siasatan susulan penemuan berkenaan manakala gambar dan rakaman video ikan tersebut telah dikemukakan kepada Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan untuk penilaian teknikal.
Menurutnya, berdasarkan bahan visual yang diterima, ciri morfologi ikan berkenaan adalah konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.
"Bagaimanapun, pengesahan sehingga peringkat spesies tidak dapat dilakukan kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, tahun ini setakat Ogos, sebanyak 121 pemeriksaan dan tindakan verifikasi di premis, kedai akuarium dan ladang ternakan ikan di seluruh negara melibatkan 24 pangkalan penguatkuasaan, Pejabat Perikanan Negeri serta Ibu Pejabat Perikanan Malaysia.
Jelasnya, hasil pemantauan tersebut, sebanyak 17 kes telah direkodkan dan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb, Bagi Ikan) 1990, Akta Perikanan 1985.
"Sebanyak 377 ekor ikan larangan turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan RM16,180 berdasarkan nilai pasaran semasa. Tiada spesies piranha dikesan atau dirampas dalam 17 kes berkenaan," ujarnya.
Tambah Adnan, selain pemeriksaan di premis fizikal, DOF turut memantau penjualan spesies ikan larangan di platform dalam talian bagi mengesan pelanggaran undang-undang dan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya lagi, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan penting bagi memastikan spesies ikan larangan tidak memasuki, dipelihara atau dilepaskan ke perairan umum secara tidak terkawal.
“Pihak jabatan menggesa orang ramai, khususnya peminat dan pembiak ikan hiasan, supaya mematuhi undang-undang dan tidak melepaskan sebarang ikan asing atau spesies larangan ke perairan umum.
“Pelepasan spesies pemangsa atau invasif secara tidak bertanggungjawab boleh mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik serta mengancam populasi ikan asli,” katanya.
Tegasnya, orang awam diingatkan supaya tidak melepaskan semula ikan yang disyaki sebagai spesies asing atau larangan ke perairan umum.
Sebaliknya, ikan berkenaan hendaklah dilaporkan kepada Pejabat Perikanan berhampiran untuk pemeriksaan dan pengenalpastian lanjut.
"DOF akan terus memperkukuh pemantauan dan program kesedaran awam berkaitan risiko pemilikan, pembiakan serta pelepasan spesies ikan larangan, termasuk aktiviti penjualan melalui platform dalam talian.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan, pemilikan atau pelepasan spesies ikan larangan boleh menyalurkannya kepada Pejabat Perikanan Negeri yang berdekatan atau melalui saluran rasmi DOF," ujarnya.
Baru-baru ini media melaporkan Jabatan Perikanan Pahang menyiasat dakwaan seorang pemancing yang dilaporkan mendaratkan ikan piranha perut merah (Pygocentrus nattereri) di Empangan Klau, Raub.