SHAH ALAM - Pembatalan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 20 September lalu adalah sah dan berkuat kuasa sepenuhnya.
Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, tindakan berkenaan dibuat menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Menurutnya, kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan peguam yang mendakwa pembatalan pelantikan berkenaan tidak sah, tidak mempunyai kesan undang-undang untuk membatalkan titah Yang di-Pertuan Besar.
"Menteri Besar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos 2026. Kesemua 10 Exco pula mengangkat sumpah di hadapan baginda pada 7 Ogos 2026. Pelantikan mereka datang daripada perkenan baginda.
"Proklamasi yang didakwa menurunkan baginda bertarikh 19 April kekal tidak sah dan kekal Yang di-Pertuan Besar. Pendirian ini ditetapkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September dan dinyatakan kamar Jabatan Peguam Negara pada 17 September 2026.
Dalam pada itu, beliau yang juga peguam kepada Undang Luak Rembau menjelaskan, Perkara 38(5) UUTKNS memperuntukkan bahawa Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar.
Beliau mendakwa peruntukan berkenaan jelas berbeza dengan peruntukan lain dalam UUTKNS yang secara khusus mensyaratkan nasihat Menteri Besar.
"Perkara 38(2)(b) menyatakan pelantikan Exco dibuat atas nasihat Menteri Besar, manakala Perkara 39A(2)(c) menyatakan Setiausaha Politik kekal sehingga pelantikannya ditentukan oleh Menteri Besar.
"Bagi tempoh jawatan Exco pula, perkataan yang dipilih ialah 'at the Ruler's pleasure'. Perkataan yang berbeza membawa makna yang berbeza," jelasnya.
Muhammad Hariz berkata, Perkara 38(5) turut menyediakan tiga keadaan berkaitan pembatalan atau tamatnya pelantikan Exco iaitu penarikan perkenan baginda, pembatalan pelantikan atas nasihat Menteri Besar dan ahli berkenan meletakkan jawatan pada bila-bila masa.
Beliau turut menolak hujah bahawa Perkara 38(4) menghalang tindakan Tuanku Muhriz, dengan alasan klausa itu hanya berkaitan keadaan Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Keadaan itu tidak berlaku. Hujah bahawa Perkara 38(4) menghalang tindakan Baginda adalah tidak relevan," katanya.
Sementara itu beliau menjelaskan, keengganan Menteri Besar mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk perkenan Tuanku boleh dilihat sebagai keengganan mematuhi keputusan dan arahan baginda serta tindakan serius terhadap hubungan Perlembagaan antara Menteri Besar dengan Yang Dipertuan Besar.
"Titah Baginda kekal berkuat kuasa menzahirkan individu-individu yang pelantikannya telah dibatalkan tidak lagi memegang jawatan Exco.
"Mana-mana keputusan yang dibuat atas nama jawatan itu selepas 20 September 2026 terdedah kepada cabaran undang-undang.
"Pegawai perkhidmatan awam negeri wajar mendapatkan nasihat penasihat undang-undang negeri sebelum bertindak atas arahan sedemikian," katanya.