SHAH ALAM - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
MITI dalam satu kenyataan berkata, perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi (EPU).
"Pihak Kementerian ingin menjelaskan bahawa tidak mempunyai makluman mengenai perkara tersebut.
"Diharapkan penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan MITI dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas," ujarnya pada Selasa.
Sebelum ini, pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang IPS di bawah KPM.
KPM memaklumkan keputusan itu dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan MITI.
Menurut KPM, pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.