GEORGE TOWN– Tiada laporan diterima setakat ini berhubung serangan ikan piranha terhadap ikan tempatan atau pemancing susulan penemuan spesies berkenaan yang didakwa terdapat di Empangan Klau, Kuantan di Pahang.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pihak berkuasa juga belum menerima maklumat mengenai ikan tempatan yang mati secara tiba-tiba dipercayai akibat serangan ikan piranha.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai maklumat mengenai ikan yang mati secara tiba-tiba atau diserang piranha.
“Sama ada ikan lain, spesies tempatan atau mana-mana pemancing yang terkena serangan, masih belum ada laporan yang kita terima buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Marin, Angsana Teluk Bahang, di sini pada Selasa.
Sebelum ini, media sosial kecoh dengan dakwaan kewujudan piranha di Empangan Klau termasuk hantaran yang mendakwa ikan itu memakan buaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan warganet mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di perairan berkenaan.
Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.
Dalam pada itu, Adnan menambah, pihaknya bagaimanapun masih memantau situasi berkenaan susulan dakwaan penemuan ikan piranha di kawasan Empangan Klau.
Mengulas kemungkinan populasi ikan berkenaan sudah wujud di kawasan tersebut, beliau berkata, perkara itu masih belum dapat disahkan berikutan pihaknya hanya memperoleh satu rakaman video yang didakwa menunjukkan kewujudan spesies tersebut di Empangan Klau.
“Saya tidak dapat nak sahkan sebab kita masih dapat satu video, itu pun yang kita katakan tidak pasti sebenarnya di mana, cuma didakwa sahaja di Empangan Klau.
“Jadi, kita tidak ada bukti kukuh lagi buat masa ini mengenai perkara tersebut. Kita masih memantau situasi ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan ikan piranha berasal dari ekosistem Sungai Amazon di Brazil yang mempunyai iklim khatulistiwa hampir sama dengan Malaysia.
Menurutnya, keadaan cuaca dan iklim yang hampir serupa secara teorinya membolehkan spesies berkenaan menyesuaikan diri serta membiak dalam ekosistem tempatan.
“Malah, ada juga ikan yang berasal daripada Amazon seperti Arapaima Gigas dan Alligator Gar yang boleh hidup dalam ekosistem kita. Jadi secara teorinya, mereka boleh beradaptasi dalam ekosistem kita,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kewujudan populasi piranha di Empangan Klau masih belum dapat dibuktikan secara konkrit dan pemantauan akan terus dilakukan bagi mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai dakwaan berkenaan.