KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan pada Isnin.
Beliau berkata, pertemuan baginda bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya diketahui melalui laporan media.
"Tidak ada. Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap.
"Kami tahu hanya daripada media saja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Selasa.
Ahmad Zahid mengulas mengenai dakwaan pihaknya dipanggil menghadap Tuanku Muhriz bersama Anwar berikutan pembatalan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri yang berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan secara baik dengan mengambil kira aspek perundangan serta menghormati institusi dan struktur pentadbiran negeri.
“Saya menyerahkan soal yang menjadi polemik ini sebagaimana jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan dan masalah negeri harus diselesaikan secara baik di Negeri Sembilan.
“Soal interpretasi dalam perundangan dan juga soal kuasa, ia bukan hanya tafsiran perundangan tetapi harus juga dihormati institusi dan juga 'establishment' yang ada di Negeri Sembilan,” katanya lagi.