SEREMBAN - Meskipun Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta, namun mereka tetap masuk ke pejabat dan menjalankan tugas seperti biasa.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, beliau menjalankan tugasnya seperti mana sebelum ini.
"Saya masuk pejabat seperti biasa dan jam 11 pagi ini, saya ada ziarah kematian di Masjid Paroi Jaya dan selepas itu saya akan masuk pejabat,"katanya menerusi Whatsapp kepada Sinar Harian pada Selasa.
Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Asna Amin turut memaklumkan perkara sama.
Bagaimanapun usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada Exco lain tidak berhasil.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dilaporkan berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan istana mengeluarkan kenyataan bahawa Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli MMK memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
"Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
"Mereka telah berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,"katanya.
Bagaimanapun ujarnya, mereka didapati telah memungkiri sumpah melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu.
"Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai ahli MMK berkuat kuasa serta-merta.
"Setiap individu berkenaan telah dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah," katanya dalam kenyataan itu.