KOTA BHARU - Dakwaan menerima 'arahan Tuhan' sebelum bertindak menghiris serta menetak rakan serumah di leher menggunakan parang dipercayai menjadi alasan yang diberikan seorang lelaki etnik Rohingya selepas ditahan di Pasir Mas pada Isnin.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan berkaitan kes seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemui mati di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan di rumah sewanya di Pasir Mas selepas dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia bertindak selepas mengalami halusinasi dan menerima arahan berkenaan.
"Dia kata....dia bangun awal pagi dan mendakwa menerima arahan Tuhan. Kita masih menyiasat perkara itu.
"Suspek macam mengalami halusinasi dan sama ada keadaan itu benar-benar berlaku atau tidak, ia perlu ditentukan oleh pakar perubatan," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Terdahulu pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemui mati dengan kesan luka hiris dan tetak pada leher di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh di sini pada awal pagi Sabtu.
Pusat Kawalan Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 12.12 tengah malam.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di kawasan berkenaan.
Ujar Mohd Yusoff, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu turut dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu parang dalam kejadian berkenaan.
Jelas beliau, siasatan setakat ini juga mendapati tiada pergaduhan atau pergelutan berlaku antara suspek dan mangsa sebelum kejadian.
"Tak ada pergaduhan, tak ada pergelutan. Mereka berada di tempat yang sama dan ketika itu lepak seperti biasa," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya turut menyiasat persoalan berkaitan dokumen pengenalan suspek berikutan terdapat persamaan tarikh lahir dalam rekod yang diperoleh.
Jelasnya, perbezaan tarikh lahir yang dikesan hanya melibatkan tahun dan perkara itu sedang disemak bagi menentukan sama ada terdapat salah guna penggunaan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"Kita akan semak lanjut kerana ada kemungkinan memiliki kad yang palsu, tetapi perkara itu masih dalam siasatan," katanya.