KOTA BHARU - Takut didakwa terbabit kes pengubahan wang haram menyebabkan seorang ibu tunggal yang berjawatan pengurus mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta kepada sindiket penipuan telefon.
Mangsa berusia lingkungan 50-an itu bukan sahaja mengeluarkan wang daripada akaun bank, malah menjual barangan kemas sebelum membuat bayaran kepada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa dipercayai menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa wanita terbabit mempunyai kaitan dengan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Menurut beliau, mangsa yang panik dan takut dengan dakwaan berkenaan kemudian mengikut arahan suspek termasuk membuka akaun baharu serta memindahkan serta mengeluarkan wangnya.
"Dia punyalah takut sampai dua bulan dia ambil masa untuk buat laporan. Dia tidak kongsi perkara tersebut dengan orang lain.
"Sampai habis, akaun dia licin," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Ujar beliau, mangsa turut menggunakan wang daripada simpanan lain termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain menjual barangan kemas bagi memenuhi arahan suspek.
Menurutnya, mangsa hanya membuat laporan polis selepas dua bulan mengikuti arahan sindiket terbabit.
"Ini masalahnya. Padahal dia tidak terlibat pun dalam kes itu, dia tahu dia tidak terlibat tetapi kerana terlalu takut, akhirnya jadi mangsa," katanya.
Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya telah mengesan sindiket yang terlibat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mereka daripada polis, Bank Negara Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan.
"Semua jabatan ini kita tidak akan telefon orang. Kalau polis, Bank Negara atau mana-mana agensi hendak ambil tindakan, mesti dipanggil.
"Kalau rasa takut sangat, tutup telefon dan hubungi agensi berkaitan untuk membuat semakan," katanya.