Tujuh balai gagal KPI tangkap penagih setiap hari, dua ketua balai terima surat teguran - Polis Kelantan

Iklan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat

KOTA BHARU - Tujuh daripada 56 balai polis di Kelantan gagal mencapai sasaran menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah sehari manakala dua ketua balai telah menerima surat teguran kerana tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya tidak akan membiarkan mana-mana balai yang gagal membuat tangkapan dadah dalam tempoh seminggu tanpa tindakan susulan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pasukan task force dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan diturunkan ke kawasan balai berkenaan sekiranya tiada tangkapan direkodkan dalam tempoh tersebut.

"Mana-mana balai yang tidak capai satu hari, satu kes, kita akan pantau. Kita akan pastikan daripada IPK akan turun di balai kawasan berkenaan.

Iklan

"Kalau IPK dapat tangkap, ketua balai berkenaan akan kena tindakan. Maknanya tidak buat kerja kalau IPK boleh dapat tangkap," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Mohd Yusoff memberitahu, setakat ini terdapat kira-kira tujuh balai di tiga daerah yang dikenal pasti tidak merekodkan sebarang tangkapan dalam tempoh seminggu.

Iklan

"Alasan yang diberi susah nak cari, suspek sudah lari dan sebagainya. Alasan mereka macam itu.

"Setakat ini tidak apa. Mereka boleh beri alasan, tetapi task force daripada sini (IPK) akan turun di kawasan balai berkenaan. Kalau ada tangkapan, ketua balai berkenaan akan kena," katanya.

Jelas beliau, keadaan itu bagaimanapun tidak boleh dijadikan alasan untuk sesebuah balai tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Mengulas tindakan terhadap ketua balai yang gagal mencapai sasaran, beliau berkata, dua ketua balai setakat ini telah diberikan surat teguran sebagai langkah awal.

"Saya tidak zalim sangat. Saya bagi tegur dulu, saya hantar surat teguran dulu.

"Selepas itu barulah tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff memberitahu, ketua balai berkenaan turut diberikan tempoh untuk memperbaiki semula pencapaian dan memenuhi KPI yang ditetapkan.

"Contohlah, katakan sehari seorang. Dalam masa seminggu mesti tujuh orang.

"Kalau hari ini kosong, dia kena pastikan esok dua. Dia hutang satu dengan saya. Hari ini kosong, esok kosong, lusa kosong, tidak bolehlah macam itu," katanya.

Menurut beliau, pencapaian setiap balai akan terus dipantau menerusi statistik yang dibentangkan dalam mesyuarat mingguan.

Tambahnya, terdapat juga balai yang berjaya merekodkan tangkapan melebihi KPI ditetapkan.

"Kita sekarang ini buat pemantauan secara mingguan. Bulan depan, selepas tempoh rintis tiga bulan, kita akan buat post-mortem.

"Kita akan panggil semua ketua balai dan kenal pasti siapa yang tidak dapat capai sasaran serta punca dan sebabnya," katanya.