SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dicadangkan untuk menjadikan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) sebagai acara tahunan sempena sambutan Hari Malaysia.
Tokoh bahasa dan persuratan negara, Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan berkata, penganjuran sayembara berkenaan mampu memartabatkan seni, sastera dan budaya negara, selain menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Saya mencadangkan MOTAC, khususnya menterinya, supaya memasukkan program SDPAHM ini sebagai acara tahunan sambutan Hari Malaysia di kementerian kerana usaha yang baik ini jelas memberikan kebaikan dalam memartabatkan seni, sastera dan budaya serta merapatkan hubungan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
“Puisi artistik yang dipersembah dalam sayembara tersebut memperlihatkan pelbagai pendekatan baharu, termasuk unsur teaterikal, muzikal, penggunaan prop, prop manusia, tayangan slaid, muzik secara langsung serta teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya
Awang Sariyan berkata demikian ketika berucap merasmikan SDPAHM ketujuh tahun di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 15 September lalu.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai yang mewakili Ketua Pengarah DBP; Wakil Dekan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Dr Shafa'atussara Silahudin; Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari dan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr Radzuan Ibrahim.
Menurut Awang Sariyan, pendekatan berkenaan wajar diperluaskan bagi menarik perhatian golongan muda dan generasi baharu supaya lebih dekat serta meminati seni puisi.
Sementara itu, Radzuan merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaya dan DBP atas kerjasama serta sokongan dalam menjayakan penganjuran sayembara berkenaan.
Pada majlis itu, Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman yang mewakili Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Johan SDPAHM 2026 menerusi persembahan puisi Bicara Budaya karya A Aziz Deraman.
Peserta berkenaan turut menerima Piala Persembahan Terbaik dan Hadiah Busana Terbaik Lelaki, manakala tempat kedua dimenangi wakil Terengganu, Alya Syafiqah Adnan menerusi puisi Secangkir Dakwat Merah karya Mas Idayu Muhammadan.
Wakil Kelantan, Noorhisyam Razali pula menduduki tempat ketiga menerusi puisi Makna Tanah Air karya Zurinah Hassan.
Bagi kategori Remaja Pelbagai Kaum yang diperkenalkan buat pertama kali, Varshini Sonyaanaidu Bala Murali Naidu dinobatkan sebagai johan menerusi puisi Cerita Dari Sebuah Beranda karya Lim Swee Tin.
Tempat kedua dimenangi Christian Duvan menerusi puisi Mengisi Erti Hari Keramat karya Awang Sariyan, manakala Ch'ng Xuan En menduduki tempat ketiga menerusi puisi Makna Tanah Air karya Zurinah Hassan.
Seramai 12 peserta mewakili negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan menyertai kategori terbuka, manakala tujuh peserta mara ke peringkat akhir kategori Remaja Pelbagai Kaum.
Johan kategori terbuka membawa pulang Piala Pusingan Seri Pemuisi, wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM1,500 dan RM1,000 berserta piala iringan serta sijil.
Bagi kategori Remaja Pelbagai Kaum pula, johan menerima piala pusingan, wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM800 dan RM500 berserta piala iringan serta sijil.