JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mahu pendidikan di semua institusi awam, bermula dari sekolah rendah hingga universiti diberikan secara percuma bagi memastikan kos pengajian tidak membebankan rakyat.
Prabowo berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas kerajaan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
Beliau menegaskan pendidikan di sekolah rendah (SD), sekolah menengah pertama (SMP), sekolah menengah atas (SMA) dan universiti awam sepatutnya tidak dikenakan bayaran kepada rakyat.
“Saya sangat bersetuju. Saya akan segera mengadakan mesyuarat khas. Secara asasnya, kos pendidikan awam mesti percuma.
“Pendidikan awam, SD, SMP, SMA dan universiti awam mesti percuma,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-28 Parti Amanat Nasional (PAN) di Jakarta baru-baru ini.
Prabowo turut menyentuh persoalan mengenai sumber kewangan yang diperlukan kerajaan untuk melaksanakan pendidikan percuma pada skala tersebut.
Menurutnya, antara sumber yang boleh digunakan ialah wang negara yang berjaya diperoleh semula daripada kegiatan rasuah atau kecurian.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah peruntukan diperlukan, mekanisme pelaksanaan atau bila rancangan pendidikan percuma hingga peringkat universiti itu akan mula dilaksanakan.
Kenyataan terbaharu itu memperluaskan komitmen Prabowo sebelum ini yang lebih tertumpu kepada usaha menyediakan pendidikan percuma di sekolah awam.
Ketika menyampaikan ucapan mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan Negara 2027 dan Nota Kewangan pada 14 Ogos lalu, beliau berkata, kerajaan akan memperjuangkan supaya kanak-kanak Indonesia dapat mengikuti pendidikan di sekolah awam secara percuma.
Prabowo ketika itu menegaskan pendidikan merupakan hak setiap kanak-kanak Indonesia dan kerajaan bertanggungjawab memperluaskan akses kepada pendidikan tanpa membebankan mereka dengan bayaran.
Selain usaha memperluaskan akses pendidikan, kerajaan Indonesia turut menetapkan pemulihan dan penambahbaikan institusi pendidikan serta pendigitalan pembelajaran sebagai antara keutamaan pada 2027. - Agensi