Otman terlepas peluang perbicaraan adil- Peguam

Iklan
Otman

KUALA LUMPUR – Pembelaan kepada Otman Arsahd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu terlepas peluang untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Ia membabitkan 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 pertuduhan pengubahan wang haram, 14 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman, 67, berkata, tiada indikasi dalam alasan penghakiman menunjukkan hakim Mahkamah Sesyen yang mengadili kes berkenaan membuat penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan keterangan saksi.

Semasa hujahan rayuan terhadap keputusan yang mensabitkan Otman dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda berjumlah RM284.2 juta, kes berkenaan pada awalnya didengar di hadapan hakim lain, namun diambil alih oleh hakim berlainan.

Iklan

Beliau berkata, hakim kedua yang mengambil alih kes itu tidak mendengar sebahagian besar keterangan saksi pendakwaan.

“Ia termasuk saksi penting dan pihak pembelaan tidak menemukan sebarang indikasi bahawa hakim itu telah meneliti nota keterangan terdahulu.

Iklan

“Perkara tersebut turut membabitkan audio CRT (rakaman dan transkripsi mahkamah) atau pemeriksaan balas terhadap saksi berkenaan.

“Di manakah dalam alasan penghakiman berkenaan menunjukkan proses menilai semua bukti?” soalnya.

Beliau berkata, pembelaan tidak mempertikaikan isu pertukaran hakim dalam mengadili kes berkenaan, namun persoalannya ialah sama ada hakim terbabit benar-benar meletakkan mindanya terhadap keseluruhan keterangan pendakwaan sebelum membuat keputusan.

Muhammad Rafique berkata, berdasarkan rekod prosiding, hakim pertama mendengar keterangan saksi pendakwaan pertama hingga ke-63 serta sebahagian keterangan saksi ke-64, manakala hakim kedua mengambil alih kes sebelum membuat keputusan prima facie pada 22 Jun 2022.

Rafique berhujah, kegagalan memberi arahan terhadap perkara yang menjadi teras kes boleh menjadi salah arah dan menyebabkan kegagalan keadilan.

Menurutnya, hakim kedua menyifatkan pembelaan anak guamnya sebagai penafian, rekaan dan strategi yang difikirkan kemudian.

“Sedangkan hakim berkenaan tidak berada di mahkamah ketika sebahagian besar keterangan pendakwaan diberikan dan tidak dapat melihat sendiri perjalanan pemeriksaan balas saksi-saksi berkenaan,” katanya.

Prosiding hujahan rayuan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Selasa.

Pada 6 Julai 2023, Otman dikenakan hukuman penjara dan denda itu selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 96 pertuduhan terbabit.

Hakim, Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta atau dipenjara 119 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Bagi 15 tuduhan salah guna kedudukan, lelaki itu dipenjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.

Sementara bagi 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.

Bagaimanapun, Kamarudin mengarahkan semua hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula tarikh jatuh hukum menjadikannya selama 15 tahun.

Hakim itu juga membenarkan permohonan Muhammad Rafique untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman denda dan penjara berkenaan dengan syarat wang jaminan ditambah sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Pertuduan berkenaan pada asalnya didengar dan dibicarakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.