MGB Berhad lancar Starlight Residences di Cameron Highlands

Iklan
Hock San (empat dari kanan) bersama Lit Chek (empat dari kiri) dan Kim Hoe (tiga dari kanan) menyempurnakan pelancaran StarLight Residences di Galeri Jualan StarLight Residences di sini pada Isnin.

MGB Berhad melancarkan pembangunan hartanah pertamanya di Cameron Highlands dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, StarLight Residences dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM129.9 juta.

Pembangunan berketumpatan rendah itu dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 0.752 hektar merangkumi 270 unit pangsapuri servis dan dua unit ruang runcit serta dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2029.

Iklan
Iklan

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, projek berkenaan menjadi langkah dalam memperluaskan portfolio pembangunan hartanah ke lokasi strategik.

“Cameron Highlands merupakan salah satu destinasi pelancongan tanah tinggi Malaysia yang terkenal dengan iklimnya yang nyaman, persekitaran semula jadi yang indah serta daya tarikan sepanjang tahun,” katanya sempena pelancaran StarLight Residences di Galeri Jualan StarLight Residences di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, Datuk Lim Lit Chek; Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Kim Hoe serta Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Wong Tack Leong dan Chew Wee Seong.

Hock San berkata, StarLight Residences menggabungkan lokasi strategik, susun atur unit praktikal serta kemudahan gaya hidup yang melengkapi keunikan persekitaran tanah tinggi berkenaan.

Iklan

Katanya, MGB kekal memberi tumpuan mengenal pasti peluang di lokasi strategik dan melaksanakan pembangunan yang dirancang dengan baik bagi memenuhi permintaan pemilik rumah selain mewujudkan nilai mampan kepada pembeli, pihak berkepentingan serta komuniti setempat.

StarLight Residences terletak bersebelahan Pasar Malam Cameron Highlands dan berhampiran Padang Golf Cameron Highlands dan beberapa tarikan popular termasuk Pusat BOH Tea, Taman Lavender serta Cameron Centrum Mall.

Pangsapuri servis berkenaan menawarkan susun atur dwikunci dalam tiga jenis unit berkeluasan antara 550 hingga 938 kaki persegi dengan harga jualan bermula RM398,000.

Dua ruang runcit pula masing-masing berkeluasan 1,561 dan 1,755 kaki persegi dengan harga jualan bermula RM1.14 juta.

Antara kemudahan yang disediakan ialah Taman Starlight, Pavilion Senja, Rumah Kaca Senja, dek pencerapan bintang, kawasan barbeku, dek yoga, Starlight Fit dan taman permainan.

Sementara itu ketika ditemui Sinar Harian selepas pelancaran, Hock San yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina berkata, biarpun MGB merupakan anak syarikat LBS Bina tetapi projek yang dilaksanakan saling melengkapi antara satu sama lain.

Menurutnya, LBS Bina memberikan tumpuan terhadap pembangunan di Brinchang Square di sini manakala MGB diberi tanggungjawab merancakkan sektor hartanah melalui pembangunan StarLight Residences.

Dalam pada itu, LBS Bina dalam perancangan untuk membangunkan beberapa projek baharu di Lembah Klang.