'Jangan biar persoalan integriti tanpa jawapan' – MCW

Iklan
Tangkap layar sekumpulan lelaki disyaki sedang melakukan curi kabel. Gambar kecil: Jais

SHAH ALAM -"Jangan menghukum berdasarkan video tular, tetapi jangan juga membiarkan persoalan integriti tanpa jawapan."

Itu tegas Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung kes tular di media sosial yang mempersoalkan kegiatan mencuri kabel dengan dakwaan diiringi oleh sebuah kenderaan peronda.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jika terdapat unsur membantu, melindungi atau bersekongkol dengan kegiatan jenayah, siasatan bebas dan tindakan tegas perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

"Pada peringkat ini, MCW menegaskan bahawa kandungan video atau hantaran media sosial tidak boleh dianggap sebagai bukti muktamad bahawa berlaku salah laku, perlindungan atau penglibatan mana-mana anggota penguat kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Katanya, semakan awal MCW juga belum menemukan pengesahan berautoriti yang mencukupi mengenai konteks sebenar rakaman tersebut.

"MCW mencadangkan pihak berkuasa segera mengenal pasti lokasi, tarikh dan masa kejadian, kenderaan yang terlibat serta anggota yang bertugas," katanya.

Iklan

Tangkap layar rakaman video tular sebuah kenderaan polis dikatakan berada di lokasi kes curi kabel.

Tambahnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kamera papan pemuka (dashcam), peranti Sistem Penentu Kedudukan (GPS) kenderaan peronda, rekod komunikasi dan log penugasan juga boleh membantu menentukan konteks sebenar kejadian.

Jelasnya, sekiranya kenderaan peronda tersebut sebenarnya sedang menjalankan tugas rasmi, perkara itu perlu dijelaskan kepada masyarakat bagi mengelakkan fitnah dan persepsi negatif.

Sebelum itu, paparan video itu dikesan tular di beberapa aplikasi sosial Facebook dan Threads.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran, difahamkan kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu lalu.

Isu itu turut dimuat naik penyanyi dan aktivis, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli di Facebook rasmi beliau.

Bagaimanapun, setakat jam 1.15 petang tiada pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung dakwaan tentang persoalan tular itu.

Sinar Harian masih menunggu kenyataan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).