Mara Career Crafting tawar lebih 5,000 peluang pekerjaan

Iklan
Rosni (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta yang hadir pada Mara Career Crafting 2026 central Chapter di German-Malaysian Institute pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

BANGI – Lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada graduan dan pencari kerja menerusi program Mara Career Crafting 2026 yang berlangsung di German-Malaysian Institute (GMI), di sini.

Ahli Majlis Mara, Datuk Rosni Sohar berkata, peluang tersebut dibawa oleh lebih 60 syarikat dan majikan yang menyertai program yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad.

Iklan
Iklan

"Penyertaan melibatkan syarikat daripada sektor multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat awam tersenarai (PLC) dan syarikat tempatan.

"Ini bermakna, setiap peserta yang melangkah ke dewan ini membawa bersama bukan sekadar harapan, tetapi peluang nyata yang boleh diubah menjadi kerjaya, pendapatan dan masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Mara Career Crafting 2026 Central Chapter di GMI Bangi, pada Isnin.

Iklan

Dilaksanakan di lima zon seluruh negara, program berkenaan disusun berdasarkan keperluan industri dan pasaran pekerjaan setempat.

Central Chapter yang berlangsung di GMI Bangi menjadi pembuka tirai diikuti di Johor pada 26 dan 27 September, Terengganu (17 dan 18 Oktober), Kedah (24 dan 25 Oktober) dan Sarawak pada tarikh yang akan ditetapkan.

Iklan

Dalam pada itu Rosni menjelaskan, Career Crafting bukan sekadar karnival kerjaya, sebaliknya inisiatif strategik Mara dalam memperkukuh pembangunan modal insan negara.

Menurut beliau, usaha itu selaras dengan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, Rangka Tindakan Ekonomi Madani serta aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Objektif program ini bertitik tolak daripada satu kesedaran bahawa kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui bilangan graduan dilahirkan, tetapi melalui keupayaan mereka menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara dan masyarakat.

"Justeru program ini dirangka bukan semata-mata untuk menganjurkan karnival kerjaya, tetapi merapatkan jurang antara dunia pendidikan dan keperluan sebenar industri.

"Pada peringkat paling asas, program ini berusaha memperluas akses kepada peluang dan pemadanan pekerjaan bagi graduan serta pencari kerja," ujarnya.

Sementara itu beliau menegaskan, isu kebolehpasaran graduan dan ketidakpadanan pekerjaan perlu ditangani secara bersama bagi merapatkan jurang antara kurikulum akademik dengan keperluan sebenar industri.

Rosni menjelaskan, program berkenaan turut melibatkan 44 Institut Pendidikan Mara (IPMa) dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Selain peluang pekerjaan, program itu turut memberi tumpuan kepada persediaan kerjaya termasuk penyediaan resume dan kemahiran menghadapi temu duga.