Prinsip keramat Rukun Negara bukan sketsa komedi

Iklan
Video tular yang menyaksikan sekumpulan anak muda tergamak menjadikan Prinsip Rukun Negara sebagai bahan komedi di atas pentas persembahan. Gambar kecil: Siti Nor Azhani

BARU-baru ini, timbul keresahan awam berhubung video tular yang menyaksikan sekumpulan anak muda tergamak menjadikan Prinsip Rukun Negara sebagai bahan komedi di atas pentas persembahan.

Demi mengejar gelak tawa penonton atas nama hiburan, ikrar keramat yang menjadi pasak penting perpaduan tanah air diperlekehkan tanpa rasa segan silu.

Iklan
Iklan

Sketsa komedi yang memperolok-olokkan falsafah kenegaraan di khalayak ini bukan sahaja menyinggung sensitiviti rakyat Malaysia, malah mencerminkan kerapuhan adab dan hakisan jati diri generasi muda yang kian membimbangkan.

Rukun Negara yang digubal pasca tragedi berdarah 13 Mei 1969 lahir daripada keperluan mendesak untuk memulihkan hubungan antara kaum dan membina kerukunan masyarakat majmuk.

Iklan

Ia bukannya sekadar bait-bait ikrar yang dihafal secara ritual harian semasa perhimpunan sekolah, melainkan ia merupakan kompas moral watan yang membentuk jati diri kewarganegaraan.

Gagasan lima prinsip Rukun Negara ini tidak diwujudkan sekadar memenuhi syarat sebuah slogan kebangsaan, sebaliknya ia diolah secara teliti dengan menyelami kepelbagaian identiti masyarakat majmuk, menjadikannya resepi paling jitu dalam memupuk semangat kekitaan kebangsaan dan kesetiaan kepada negara.

Iklan

Secara khusus lagi, prinsip kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan menekankan keperluan warganya untuk memiliki tatasusila tinggi dan menolak sebarang perbuatan angkuh atau tindakan yang menyinggung perasaan individu atau golongan lain.

Apabila prinsip keramat ini dijadikan modal sketsa komedi, ia membuktikan wujudnya krisis nilai dan kegagalan memahami batas-batas kesusilaan.

Sebab utama kepincangan ini terjadi adalah disebabkan pengaruh ideologi hedonisme yang telah lama membarah dalam kalangan generasi muda.

Nikmat keseronokkan dan keghairahan menghiburkan penonton sering kali menyebabkan etika dan nilai kesopanan diketepikan.

Kebebasan berekspresi di atas pentas disalah ertikan sebagai lesen untuk bersikap biadap terhadap lambang dan falsafah kenegaraan.

Penghayatan sejarah tentang pembentukan dan faktor pembinaan Rukun Negara juga pudar dalam naluri generasi muda.

Selari dengan perbincangan oleh sarjana sosiologi tersohor, Ibnu Khaldun bahawa generasi muda yang dibuai kemakmuran dan semakin jauh daripada peristiwa sejarah pembentukan kedaulatan, cenderung luntur semangat kekitaan ('asabiyyah) serta kasih sayang kebangsaan.

Apabila naratif sejarah tidak lagi dihayati secara mendalam, wujud kelompangan jiwa yang menyebabkan sebarang simbol dan falsafah kenegaraan dipandang enteng dan mudah dipersendakan di khalayak.

Implikasinya, Rukun Negara sering kali dilihat sekadar rentetan ayat untuk dihafal demi melepasi ujian akademik dan bukan lagi satu falsafah yang diresap rohnya ke dalam jiwa sanubari.

Bagi merawat kepincangan ini, kaedah penyelesaian menyeluruh yang bersifat akar umbi amat diperlukan. Kita tidak boleh lagi melihat Rukun Negara sebagai sekadar teks rasmi.

Sebaliknya, setiap warganegara mesti menjiwai dan memahami sejarah pembentukan serta roh yang mendasari falsafah ini.

Kesedaran ini perlu ada pada setiap generasi muda supaya mereka sedar betapa mahalnya harga sebuah keamanan dan bagaimana prinsip ini dibina melalui kesepakatan generasi terdahulu.

Penghayatan akar umbi bermaksud roh Rukun Negara itu hidup dalam amalan harian, perbualan dan cara kita saling menghormati antara satu sama lain.

Dari sudut pendidikan, pembentukan karakter, akhlak dan sahsiah luhur di peringkat sekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi mesti sentiasa mendahului keghairahan hiburan semata-mata.

Konsep 'asabiyyah Ibnu Khaldun iaitu ikatan kasih sayang, kesetiaan dan persaudaraan kebangsaan perlu disemarakkan bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum di bawah payung Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, peranan Mata Pelajaran Umum (MPU) di institusi pengajian tinggi mesti diangkat ke tempat selayaknya.

Jangan lagi subjek yang berinspirasikan negara bangsa Malaysia ini dilihat sebagai subjek tempelan yang sekadar membebankan dan membosankan mahasiswa universiti.

Stigma ini perlu dihapuskan dengan menjadikan MPU sebagai medan wacana dinamik untuk para mahasiswa membincangkan keadah menangani isu-isu kenegaraan.

Apabila mahasiswa memahami kerelevanan subjek MPU ini dengan realiti masa kini dan pandangan masa depan, maka pemikiran kritis ke arah cinta akan negara dapat dibentuk dengan utuh melangkaui sekadar menghafal untuk peperiksaan.

Akhir sekali, institusi kekeluargaan perlu bertindak sebagai ejen terawal di rumah untuk mendidik anak-anak menghormati prinsip kebangsaan.

Kefahaman dan kesedaran tidak akan bercambah jika tidak disemai seawal mungkin di rumah. Menjaga kemuliaan Rukun Negara di mana-mana jua merupakan tanggungjawab setiap warganegara yang melaungkan ikrar kesetiaan kepada tanah air.

Kesetiaan kepada negara bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi sebaliknya paksi yang memastikan teguhnya jiwa generasi muda agar tidak runtuh dek kejahilan mereka sendiri.

*Dr Siti Nor Azhani Mohd Tohar ialah Pensyarah Sosiologi Pembinaan Negara Bangsa, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)