KULIM - Seorang bekas juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh, G Vikneswaran, 43, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas S Sila, 39, di sebuah rumah di daerah ini, antara jam lebih kurang 6.30 petang hingga 9.04 malam, 14 September lalu.
Disebabkan perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, hendaklah dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan hasil bedah siasat dan laporan kimia.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita meninggal dunia akibat ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya sendiri di rumah mereka baru-baru ini.