Kemudahan AI jangan matikan daya fikir murid

Iklan
Di Malaysia, KPM memperkenalkan Panduan Literasi AI 2026, selain memperluas penggunaan teknologi berkenaan dalam ekosistem pendidikan. Foto: Bernama

KEHADIRAN kecerdasan buatan (AI) dalam dunia pendidikan semakin sukar dielakkan apabila teknologi berkenaan mula digunakan sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran.

Di Malaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) 2026, selain memperluas penggunaan teknologi berkenaan dalam ekosistem pendidikan.

Iklan
Iklan

Platform DELIMa 3.0 misalnya kini mengintegrasikan 16 aplikasi AI bagi membantu guru melaksanakan tugasan tertentu selain menyokong pembelajaran diperibadikan.

Namun, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan lebih besar iaitu sejauh mana AI membantu murid belajar dan pada tahap mana teknologi tersebut mula mengambil alih proses mereka berfikir.

Iklan

Kemudahan mendapatkan jawapan dalam tempoh beberapa saat boleh menjadi kelebihan jika digunakan untuk mencari penerangan, membandingkan maklumat atau mengembangkan idea. Malah, AI boleh menjadi alat yang membantu murid memahami sesuatu topik daripada sudut yang berbeza.

Sebaliknya, ia boleh menjadi masalah sekiranya murid sekadar menyalin jawapan tanpa memahami kandungan atau proses menghasilkan jawapan tersebut.

Iklan

Lebih membimbangkan jika kebergantungan itu menyebabkan mereka tidak lagi berusaha mencari penyelesaian sendiri.

Dalam konteks ini, peranan guru juga semakin penting kerana bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya membimbing murid menilai kesahihan maklumat, mengenal pasti kesilapan AI dan menggunakan teknologi secara beretika.

Cabaran ini memerlukan pendekatan pendidikan yang tidak melihat AI sebagai musuh atau pengganti manusia. Sebaliknya, murid perlu diajar menggunakan teknologi berkenaan sebagai alat untuk memperkukuh kreativiti, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Jika AI mampu memberikan jawapan dengan pantas, pendidikan perlu memastikan murid masih mempunyai keupayaan untuk bertanya soalan yang betul, menilai jawapan dan membina pemikiran sendiri.

Teknologi mungkin semakin pintar tetapi matlamat pendidikan seharusnya kekal sama iaitu melahirkan manusia yang mampu berfikir.