JOHOR BAHRU – DAP perlu menyelesaikan urusan dalaman parti itu terlebih dahulu sebelum mencampuri soal kepimpinan UMNO termasuk menentukan kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan kedudukan Ahmad Zahid serta mencadangkan penggantinya disifatkan sebagai melampaui batas.
"Jangan menjadi batu api dalam Kerajaan Perpaduan semata-mata untuk meraih perhatian politik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat tergempar CEC DAP.
Sheikh Umar kemudian mempersoalkan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pemimpin UMNO lain untuk menggantikannya.
Mohd Hairi yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor berkata, kepimpinan UMNO ditentukan ahli parti berdasarkan Perlembagaan dan proses pemilihan, bukannya melalui tekanan atau campur tangan DAP.
“Sejak bila seorang pemimpin DAP diberikan mandat untuk menentukan siapa yang layak memimpin UMNO?
“UMNO tidak pernah membuka tender kepada DAP untuk memilih Presidennya,” jelasnya.
Menurut beliau, Sheikh Umar sendiri mengakui terdapat anggota CEC DAP yang pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusan dibuat berhubung isu Anthony Loke.
“Jika rumah sendiri masih berserabut, kemaskanlah dahulu. Jangan cuba menyapu masalah sendiri ke halaman UMNO, kemudian berpura-pura menjadi penjaga kebersihan politik negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hairi menegaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tidak memberikan lesen kepada mana-mana parti untuk mencampuri urusan dalaman rakan politik.
“UMNO bukan anak syarikat DAP. UMNO juga tidak memerlukan ‘remote control’ daripada mana-mana pemimpin DAP.
“Kami menghormati rakan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi penghormatan mestilah berbalas dan sempadan mestilah dijaga,” ujarnya.