Kor Ming mahu letak jawatan menteri tapi Anthony Loke 'pujuk'

Iklan
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming (kiri) dilapor menyatakan hasrat untuk meletak jawatan bersama-sama dengan Setiausaha Agung parti berkenaan, Anthony Loke (kanan).

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilapor menyatakan hasrat untuk meletak jawatan bersama-sama dengan Setiausaha Agung parti berkenaan, Anthony Loke.

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, sumber yang menghadiri mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu memaklumkan memang timbul idea untuk meletak jawatan beramai-ramai semasa perbincangan berlangsung.

Iklan
Iklan

Ini kerana menurut sumber, mesyuarat berdepan kebuntuan apabila beberapa menteri dan timbalan menteri termasuk Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo serta Kor Ming berhasrat mahu melepaskan jawatan masing-masing.

"Idea meletak jawatan beramai-ramai sememangnya timbul dalam mesyuarat tergempar CEC DAP.

Iklan

"Pemimpin lain termasuk Kor Ming yang kini menjadi tumpuan ramai, pada ketika itu ingin mengambil pendirian sama seperti Anthony.

“Sebenarnya mesyuarat menemui jalan buntu. Kor Ming ketika itu juga mencadangkan supaya mereka meletak jawatan bersama-sama.

Iklan

"Katanya tak masuk akal kalau Setiausaha Agung sahaja letak jawatan, bagaimana pula dengan yang lain? Pada awalnya, hampir kesemua ahli CEC DAP berpendapat kalau nak letak jawatan, biarlah bersama. Kalau nak kekal pun biarlah semuanya kekal," ujarnya.

Sidang media selepas mesyuarat tergempar CEC DAP di Wisma DAP Jalan Yew, Kuala Lumpur pada Sabtu. Kredit/ FOTO DAP.

Bagaimanapun, kata sumber, Anthony kemudian mempertahankan pendiriannya walaupun berdepan pandangan berbeza dalam mesyuarat tersebut.

Tambahnya, Anthony turut menjelaskan keperluan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan sebab pemimpin DAP lain perlu terus kekal berada dalam kerajaan, membuatkan ahli mesyuarat sebulat suara menerima pandangan sedemikian.

“Kalau Anthony letak jawatan kemudian Kor Ming dan Gobind Singh pula ikut, selepas itu Hannah Yeoh juga, ia sudah jadi peletakan jawatan beramai-ramai," ujarnya.

Sumber juga memaklumkan, DAP pada saat itu perlu mencari titik keseimbangan antara tanggungjawab moral dalam politik dengan risiko yang bakal dihadapi.

“Bukannya kami (DAP) tidak mempertimbangkan implikasi jika keluar sepenuhnya daripada kerajaan.

"Tetapi, kami berpandangan keadaan sekarang bukan masanya untuk mendorong peletakan jawatan beramai-ramai atau pembubaran Parlimen.

"Selepas peletakan jawatan secara menyeluruh, masih terdapat banyak kemungkinan lain yang boleh berlaku," jelasnya lagi.

Sumber memberitahu, keputusan tegas akhirnya dibuat apabila Anthony meletak jawatan bagi menyatakan pendirian parti, sementara pemimpin DAP lain perlu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik bertunjangkan Pakatan Harapan (PH).

"Walaupun Kor Ming yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdepan desakan daripada beberapa pemimpin Melayu supaya turut meletak jawatan.

"Anthony akhirnya berjaya meyakinkan semua pihak bahawa jika seseorang perlu tampil mewakili pendirian parti, individu tersebut mestilah pemimpin tertinggi parti iaitu beliau sendiri selaku Setiausaha Agung DAP.

“Memang Anthony menunjukkan keberanian dengan meletak jawatan, tetapi Kor Ming juga memerlukan keberanian politik yang lebih besar untuk menempuh tekanan dan serangan selepas ini," kata sumber.