Pemuda 'kantoi' rakam isteri orang dalam tandas

Iklan
Tular satu hantaran di aplikasi Threads oleh mangsa yang mendakwa dirakam dari bahagian atas tandas oleh seorang pekerja di premis berkenaan sewaktu dia tumpang menggunakan tandas semasa membeli-belah bersama keluarganya.

JERANTUT – Seorang wanita mendakwa dirinya dirakam menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam tandas sebuah kedai serbaneka di Bandar Inderapura di sini, sebelum seorang lelaki ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi membabitkan mangsa berusia 26 yang merupakan pelanggan kedai berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa mendakwa terlihat seperti ada perbuatan seseorang di tandas bersebelahan sedang merakam dirinya menggunakan telefon bimbit melalui bahagian atas tandas.

“Mangsa bertindak pantas memeriksa tandas bersebelahan dengan bantuan ahli keluarganya.

Iklan

“Suami mangsa kemudian telah menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nor Azman berkata, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Jerantut ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun.

Iklan

Jelasnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 16 Plus yang dipercayai digunakan dalam perbuatan berkenaan.

“Suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tiga hari sehingga 22 September untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 509/377D Kanun Keseksaan.

“Barang kes yang dirampas akan dihantar ke Forensik PDRM untuk dianalisis,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.

Terdahulu, tular satu hantaran di aplikasi Threads oleh mangsa yang mendakwa dirakam dari bahagian atas tandas oleh seorang pekerja di premis berkenaan sewaktu dia tumpang menggunakan tandas semasa membeli-belah bersama keluarganya