KOTA TINGGI - Seramai 100 pelajar kurang berkemampuan daripada tujuh sekolah menengah di kawasan Parlimen Tenggara menerima manfaat menerusi Program Tuisyen Pintar tajaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Ahli Parlimen Tenggara yang juga Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar kawasan desa setempat mengikuti tuisyen secara percuma bagi empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, program yang bermula sejak 4 Julai lalu itu mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan kadar kehadiran pelajar hampir 90 peratus.
“Tuisyen ini dijalankan secara bersemuka dan satu slot motivasi secara berpusat yang dikendalikan guru-guru cemerlang termasuk guru penanda dan penggubal soalan SPM.
“Program ini secara tidak langsung mampu melonjakkan pencapaian SPM di sekolah terlibat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek cura penajaan RISDA yang berjumlah RM40,000 kepada Program Tuisyen Pintar di Dewan Besar, Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ).
Program Tuisyen Pintar merupakan inisiatif yang dikendalikan Yayasan Pelajaran Mara dan diselaraskan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai serta PPD Kota Tinggi.
Tujuh sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, SMK Seri Pinang, SMK Sultan Alauddin, SMK Linggiu, SMK Taman Seri Saujana, SMK Laksamana dan SMK Taman Kota Jaya.
Manndzri berkata, tajaan berkenaan bertujuan mengukuhkan pelaksanaan program, selain menggalakkan penyertaan pelajar desa kurang berkemampuan dalam membuat persediaan menghadapi SPM.
Menurutnya, program berkenaan akan diperluaskan bagi memperkukuh persediaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan SPM akan datang.
“Inisiatif kerjasama pelbagai agensi luar sentiasa diberikan penekanan sebagai usaha menggalakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mampu memanfaatkan golongan kurang berkemampuan termasuklah di kawasan desa.
“Program Tuisyen Pintar bukan sekadar meningkatkan prestasi pencapaian peperiksaan, tetapi turut membuka ruang untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pendidikan dan kecemerlangan akademik generasi muda,” ujarnya.