KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak gesaan supaya Parlimen dibubarkan susulan tawaran peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, memandangkan kestabilan kerajaan ditentukan oleh mandat dan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, gesaan beberapa pihak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen, tidak mencerminkan kedudukan Kerajaan MADANI ketika ini.
"Kestabilan sesebuah kerajaan ditentukan oleh mandat dan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, bukan oleh sentimen atau gesaan mana-mana pemimpin peringkat negeri. Kerajaan Perpaduan kekal memegang mandat tersebut.
"Pembubaran Parlimen ialah kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan alat tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal dalam kenyataan, menggesa Anwar membubarkan Parlimen selepas Loke menawarkan peletakan jawatannya sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, Mohammed Taufiq berkata, pendirian Setiausaha Agung DAP itu perlu dilihat daripada sudut tanggungjawab seorang pemimpin, bukannya petanda keruntuhan kerajaan dengan keputusan akhir tertakluk kepada penerimaan Perdana Menteri.
Menteri Belia dan Sukan itu turut menyangkal dakwaan Kerajaan MADANI"hampir karam”, dengan merujuk kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
"Kerajaan yang ‘hampir karam’ tidak mungkin dapat mencatat pertumbuhan ekonomi sedemikian. Inilah kestabilan dasar yang dinikmati rakyat dan dipandang tinggi oleh pelabur,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata pilihan raya mengejut juga hanya akan mencetuskan ketidaktentuan, membantutkan program yang sedang dilaksanakan serta membebankan perbelanjaan negara.
Beliau berkata, UMNO juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini turut menegaskan parti itu akan kekal bersama kerajaan berkenaan hingga akhir penggal.
"Rakyat tidak memerlukan pilihan raya yang tercetus daripada drama politik. Yang rakyat perlukan ialah kerajaan yang terus bekerja, ekonomi yang terus mengukuh dan tekanan kos sara hidup yang diurus dengan dasar yang teratur,” katanya.- Bernama