Ugut bakar rumah, suami dipenjara sembilan bulan

Iklan
Tertuduh dipenjara sembilan bulan selepas gagal membayar denda RM5,000.

MACHANG - Tindakan seorang suami melakukan ugutan jenayah untuk membakar rumah selepas isterinya keluar tanpa izin apabila berlaku perbalahan berhubung isu nafkah sewa rumah minggu lalu membawa padah apabila dia dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad.

Tertuduh, Muhammad Shahril Mat Sali, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya berusia 35 tahun dengan menyatakan bahawa dia akan membuang barang-barang rumah dan membakar kediaman sekiranya wanita itu keluar lagi tanpa izinnya.

Ugutan itu didakwa dibuat dengan niat menyebabkan mangsa berasa takut dan cemas.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bandar, Pulai Chondong di sini kira-kira jam 2 pagi pada 11 September 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil pertimbangan bahawa tertuduh dan mangsa mempunyai perhubungan suami isteri.

"Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa trauma dan seorang suami sepatutnya menjadi tempat selamat dan pelindung kepada isteri. Bukannya menyebabkan isteri risau akibat perbuatan yang menakutkan," katanya.

Bagaimanapun, Norfaraliyana dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

"Tertuduh bekerja sebagai penjual minyak wangi dengan pendapatan kira-kira RM800 hingga RM1,000 sebulan. Tertuduh juga menanggung isteri bersama dua anak dan pengakuan salahnya menjimatkan masa dan kos semua pihak," ujarnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh bagaimanapun tidak membayar denda yang ditetapkan.

Berdasarkan penyataan impak mangsa yang dibacakan di mahkamah, tertuduh mengancam untuk membuang barang-barang rumah serta membakar rumah sewa yang depositnya dibayar oleh mangsa sendiri.

Mangsa benar-benar takut bahawa ancaman tersebut akan berlaku, khususnya apabila dia sekali lagi keluar menziarahi ibu bapanya.

Kebimbangannya menjadi lebih nyata kerana tertuduh juga kerap menyalakan api di sekitar rumah dan mangsa pernah melihat suaminya menunjukkan keseronokan apabila melihat api menyala.