Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India

Iklan
Ratusan keluarga Rohingya di Jammu berdepan kehilangan tempat tinggal selepas diarah mengosongkan kediaman. Foto: Maktoob

JAMMU – Ratusan keluarga Rohingya berdepan kehilangan tempat tinggal selepas diarahkan mengosongkan penempatan sementara di kawasan Karyani Talab, Narwal di Jammu, India.

Penduduk dilihat merobohkan pondok, struktur kayu dan kedai serta mengemas barangan selepas pemilik tanah meminta mereka meninggalkan kawasan berkenaan susulan notis pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Seorang anggota komuniti Rohingya mendakwa, kira-kira 350 hingga 500 keluarga yang menghuni sekitar 80 hingga 90 pondok sementara telah diminta berpindah.

Sebahagian daripada mereka dikatakan sudah menetap di kawasan itu antara 15 hingga 16 tahun.

Iklan

Menurut penduduk, notis tersebut dikeluarkan kepada pemilik tanah yang menyewakan tapak kepada keluarga Rohingya.

Notis berkenaan dilaporkan mempersoalkan tindakan pemilik tanah membenarkan warga asing menetap di kawasan itu selain mendakwa tanah tersebut diperuntukkan bagi kegunaan pertanian dan tidak boleh disewakan untuk tujuan kediaman.

Iklan

Rohingya Human Rights Initiative pula mendakwa, kira-kira 350 tempat perlindungan telah dirobohkan, menjejaskan hampir 1,800 individu.

Kumpulan itu mendakwa keluarga terbabit tidak diberikan penempatan alternatif yang selamat dan sesuai, menyebabkan sebahagian mereka mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan lain di India termasuk Hyderabad atau ke Bangladesh.

Data kerajaan yang dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa peringkat tinggi menunjukkan seramai 7,656 Rohingya dikenal pasti di seluruh Jammu dan Kashmir, termasuk 6,737 di wilayah Jammu dan 919 di Lembah Kashmir.

Rohingya Human Rights Initiative kini menggesa pihak berkuasa dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pengusiran lanjut sehingga kesan kemanusiaannya dinilai serta menyediakan penempatan alternatif kepada keluarga terjejas.

Bagi keluarga yang kehilangan kediaman, persoalan utama kini ialah ke mana mereka harus pergi selepas tempat yang menjadi kediaman selama bertahun-tahun tidak lagi dapat diduduki. – Agensi