SONIPAT - Seorang bayi perempuan berusia enam bulan cedera parah selepas diserang seekor anjing baka pit bull dalam kejadian menggemparkan di Haryana, India.
Insiden yang dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan anjing berkenaan menerkam seorang wanita yang sedang mendukung bayi tersebut secara tiba-tiba di Sikka Colony.
Kedua-duanya terjatuh akibat rempuhan sebelum anjing itu terus menyerang bayi berkenaan.
Wanita yang merupakan ibu saudara bayi itu cuba menyelamatkannya, namun anjing tersebut terus menggigitnya dan menyebabkannya terjatuh ke tanah.
Rakaman itu turut menunjukkan bayi berkenaan diseret di atas jalan dan beberapa individu cuba menarik haiwan tersebut.
Bayi itu mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke sebuah hospital di Rohtak.
Keadaannya dilaporkan kritikal, namun keluarganya masih belum membuat laporan polis.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat selain menimbulkan persoalan mengenai kecuaian pemilik anjing dan pematuhan terhadap peraturan berkaitan pemeliharaan baka yang dianggap berbahaya.
Dalam kejadian berasingan tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun kehilangan sebahagian telinga kanannya dan cedera parah selepas diserang pit bull di Vinay Enclave, Delhi. Pemilik anjing itu kemudiannya ditahan atas kesalahan cubaan membunuh.
Pit bull masih boleh dipelihara di kebanyakan kawasan di India kerana tiada larangan menyeluruh terhadap baka berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa pihak berkuasa tempatan mengenakan sekatan terhadap pemeliharaan baka tertentu yang dianggap berbahaya.
Sebagai contoh, Ghaziabad dan Chandigarh melarang pemeliharaan pit bull, rottweiler serta beberapa baka lain yang berisiko mengancam manusia. - Agensi