Seni tak kenal usia

Iklan
Karya dihasilkan anggota Angkatan Pelukis Kedah yang bakal meraikan ulang tahun ke-50.

SUNGAI PETANI – Bagi pelukis berusia emas, Judin Ahmad yang masih aktif menghasilkan karya sehingga kini, seni bagaikan jiwa yang terus subur.

Biarpun sudah mencecah usia 73 tahun, beliau tetap bersemangat apabila bercerita mengenai dunia seni dan lukisan yang sudah sebati dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

Berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang seni, Judin berkata, minat melukis mula berputik sejak di bangku sekolah.

Hampir setiap pertandingan yang dianjurkan akan disertainya dan beliau pernah memenangi pelbagai pertandingan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Iklan

Bagaimanapun, minatnya itu pada awalnya tidak mendapat sokongan keluarga yang mahu beliau melupakan hasrat mendalami bidang seni.

Walaupun berusia emas, Judin bersemangat berkongsi kepakaran kepada generasi muda.

Iklan

“Mak tak setuju, tetapi disebabkan minat mendalam, saya jalan terus. Lebih teruja apabila saya terpilih mengikuti pengajian dalam bidang seni di Universiti Teknologi Mara.

“Saya buat permohonan dan pergi daftar tanpa pengetahuan keluarga. Bagaimanapun, semasa tahun pertama apabila rahsia itu terbongkar, mak minta saya tukar kursus lain,” katanya.

Namun, Judin tetap dengan pendiriannya dan menamatkan pengajian dalam bidang diminati.

Beliau kemudian berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sebelum berkhidmat sebagai pensyarah seni di beberapa maktab dan institut perguruan.

Judin juga pernah diberi amanah sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim yang dahulunya dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Abdul Halim.

Ahli Angkatan Pelukis Kedah (APK) itu terus aktif menghasilkan karya walaupun sudah bersara pada 2011.

Menurutnya, antara kenangan paling bermakna sepanjang berkarya ialah apabila lukisan bertemakan Pulau Langkawi dibeli seorang pencinta seni dari Amerika Syarikat pada harga RM8,800 sekitar 1990-an.

“Ini membuktikan bidang dan kerjaya seni mempunyai nilai tersendiri yang perlu dihargai berdasarkan idea serta kreativiti masing-masing.

“Saya tidak salahkan keluarga yang pada awalnya belum terdedah kepada potensi dan nilai karya seseorang penggiat seni. Namun melalui pengalaman itu, saya terus bekerja keras untuk membuktikan bahawa bidang ini mempunyai masa depan dan rezekinya tersendiri,” kongsinya.

Sementara itu, seorang lagi pelukis, Anuar Ahmad, 67, memilih pendekatan berbeza apabila menghasilkan ratusan karya menggunakan bancuhan kopi sebagai medium lukisan sejak kira-kira dua tahun lalu.

Anuar bersama dua lukisan unik yang dihasilkan menggunakan bancuhan kopi.

“Bila tengok nampak biasa tetapi untuk mendapatkan lukisan unik dengan ton warna berbeza, saya perlu menyediakan bancuhan kopi mengikut kepekatan yang diperlukan.

“Cabarannya, setiap lapisan warna perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum bahagian lain diwarnakan. Cuaca panas membantu mempercepatkan proses menyiapkan lukisan kopi,” katanya.

Berbeza pula dengan bekas warden penjara, Hussin Mohd Isa, 72, yang mula menghasilkan karya berkonsepkan realistik seperti suasana kehidupan, pemandangan dan buah-buahan selepas bersara sekitar 2014.

Hussin aktif menghasilkan karya selepas bersara sekitar 2014.

“Selepas bersara, inilah cara saya menzahirkan perasaan melalui karya. Jiwa juga terasa lebih tenang.

“Saya turut bersedia menyertai pameran yang dianjurkan di beberapa lokasi bersama rakan-rakan lain dalam usaha menarik lebih ramai orang meminati dunia seni,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua APK, Yusoff Sahab, 63, berkata, kepelbagaian latar belakang dan pengalaman dalam kalangan pelukis membuka ruang untuk mereka terus bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta merangka perjalanan persatuan sempena ulang tahun ke-50 APK pada tahun depan.

Yusoff mengharapkan agar lebih ramai masyarakat menghargai karya seni.

Menurutnya, sambutan jubli emas bukan sekadar meraikan usia persatuan, sebaliknya menjadi peluang menghimpunkan kembali penggiat seni, mencetuskan idea baharu dan membawa karya seni lebih dekat kepada masyarakat.

Di sebalik warna, garisan dan sapuan berus yang menghiasi kanvas, tersimpan kisah panjang mengenai kesetiaan pelukis terhadap dunia seni.

Bagi APK, perjalanan setengah abad bukan tempoh yang singkat, sebaliknya menjadi satu lagi halaman penting untuk terus melakar cerita, mencorakkan generasi baharu dan memastikan seni terus mekar dalam denyut nadi masyarakat.