SELAT bukan sekadar kawasan perairan sempit yang menghubungkan dua laut malah mempunyai kepentingan besar terhadap perdagangan, bekalan tenaga dan keselamatan antarabangsa. Kedudukannya menjadikan beberapa selat sebagai titik strategik dunia terutamanya ketika berlaku konflik atau gangguan maritim.
Berikut ialah 10 selat paling strategik di dunia.
1. Selat Melaka (Malaysia, Indonesia dan Singapura)
Menghubungkan Lautan Hindi dengan Lautan Pasifik menerusi Laut China Selatan dan menjadi laluan laut terpendek antara pembekal minyak dan gas dari Asia Barat dengan pasaran Asia Timur serta Asia Tenggara. Kira-kira 23.2 juta tong minyak sehari melalui kawasan itu pada separuh pertama 2025., menjadikannya lokasi strategik utama dunia dari segi jumlah aliran minyak ketika itu. China menyumbang hampir separuh daripada import minyak yang melalui selat berkenaan.
2. Selat Hormuz (Iran dan Oman)
Kedudukannya menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab serta menjadi laluan utama eksport tenaga dari negara-negara Teluk. Kira-kira 20.9 juta tong minyak sehari dicatatkan pada separuh pertama 2025 bersamaan kira-kira 20 peratus penggunaan petroleum cecair dunia. Pilihan laluan alternatif pula hanya dapat menggantikan sebahagian kecil aliran tersebut.
3. Selat Bab al-Mandab (Yemen, Djibouti dan Eritrea)
Menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan seterusnya Lautan Hindi. Kedudukannya menjadikannya laluan penting bagi kapal yang bergerak antara Eropah dan Asia melalui Terusan Suez. Gangguan keselamatan di kawasan ini boleh menyebabkan kapal mengubah laluan dan mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan. Kira-kira 8.1 juta tong minyak sehari direkodkan melalui kawasan itu pada suku kedua 2026.
4. Selat Taiwan (Taiwan dan China)
Menjadi penghubung Laut China Timur dengan Laut China Selatan dan menjadi laluan perdagangan antara China, Taiwan, Jepun serta pasaran antarabangsa. Kira-kira 60 peratus daripada lintasan itu yang agak sibuk melibatkan kapal kargo. Kepentingannya juga berkait rapat dengan keselamatan dan geopolitik Asia Timur kerana sering menjadi titik pertikaian Beijing-Taipei.
5. Selat Dover (Britain dan Perancis)
Penghubung Selat Inggeris dengan Laut Utara dan menjadi laluan utama perdagangan antara Britain dengan tanah besar Eropah. Statistik rasmi UK merekodkan purata kira-kira 1,300 kapal melintasi kawasan itu setiap minggu pada 2023, jumlah tertinggi berbanding lima laluan global lain. Kepadatan trafik menyebabkan sistem lorong pemisah trafik khas digunakan bagi mengurangkan risiko perlanggaran.
6. Selat Turkiye (Bosphorus dan Dardanelles)
Ia terdiri daripada Bosphorus dan Dardanelles yang menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Mediterranean melalui Laut Marmara. Laluan ini amat penting untuk eksport tenaga dan barangan dari kawasan Laut Hitam dan Rusia. Lebih 45,000 kapal melalui kedua-dua selat itu pada 2024 manakala aliran minyak sekitar 3.7 juta tong sehari direkodkan pada separuh pertama 2025.
7. Selat Sunda (Indonesia)
Terletak antara Pulau Jawa dan Sumatera serta menghubungkan Laut Jawa dengan Lautan Hindi. Ia penting sebagai laluan alternatif kepada Selat Melaka apabila kapal tertentu mahu mengelakkan kesesakan atau had laluan. Sunda bersama Selat Lombok turut dikenal pasti sebagai dua laluan alternatif utama di kepulauan Indonesia.
8. Selat Gibraltar (Sepanyol dan Maghribi)
Menghubungkan Laut Mediterranean dengan Lautan Atlantik dan menjadi pintu masuk utama kapal yang bergerak antara Eropah, Afrika, Atlantik dan Mediterranean. Kedudukannya juga menjadikannya penting dari sudut ketenteraan kerana ia merupakan laluan semula jadi antara dua kawasan maritim utama.
9. Selat Bering (AS dan Rusia)
Ia memisahkan Alaska dengan Timur Jauh Rusia dan menjadi satu-satunya koridor laut bagi trafik kapal antara Lautan Pasifik dengan Lautan Artik. Data Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menunjukkan trafik maritim di Artik semakin meningkat susulan tempoh perairan bebas ais yang lebih panjang dengan aktiviti perkapalan melalui selat berkenaan turut bertambah.
10. Selat Denmark (Denmark dan Laut Baltik)
Merupakan rangkaian saluran yang menghubungkan Laut Baltik dengan Laut Utara termasuk Oresund, Great Belt dan Little Belt. Kawasan ini penting untuk perdagangan dan pergerakan tenaga di Eropah Utara. Kira-kira 4.7 juta tong minyak sehari direkodkan melalui selat itu pada suku kedua 2026.