AKSI cemerlang Irfan M Shazmir membuahkan dua kejuaraan buat skuad junior Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada pusingan kedua Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun (B-18) BAM 2026 di Alor Setar, Kedah.
Irfan terlebih dahulu menjuarai acara beregu lelaki bersama Damien Ling sebelum sekali lagi menaiki podium dalam beregu campuran bergandingan dengan Genevie Lim.
Pada final beregu lelaki, Irfan-Damien menewaskan rakan sepasukan, Khairul Azlan Khashah-Yusuf M Iqbal 15-9, 15-13 dalam tempoh 22 minit.
Keadaan gelanggang yang panas dan berbahang tidak menghalang pasangan itu daripada mengekalkan rentak permainan sehingga mata terakhir.
"Saya rasa sangat lega selepas pukulan terakhir berjaya memberikan mata kepada kami. Keadaan gelanggang agak panas dan berbahang, tetapi kami tetap berjuang hingga mata terakhir," kata Irfan.
Menurutnya, pertemuan sesama rakan sepasukan turut memerlukan kedua-dua pasangan melakukan beberapa penyesuaian sepanjang perlawanan kerana mereka berlatih di bawah jurulatih yang sama.
Irfan kemudian melengkapkan hari gemilangnya apabila bersama Genevie menundukkan Yusuf-Teh Si Yan 15-11, 15-10 dalam final beregu campuran.
Kejayaan itu turut disusuli Lim Boon Le yang muncul juara perseorangan lelaki selepas bangkit menewaskan Chong Lee Qian 9-15, 17-15, 15-8.
Boon Le mengambil masa 50 minit untuk memastikan kemenangan dalam aksi sengit tersebut.
Dalam saingan beregu wanita, Nur Aina Maisarah Hatta-Teh Si Yan turut menyumbang gelaran selepas menewaskan Rachel Tan-Teh Xin Ying 15-11, 16-14.
Pasangan itu menamatkan pertarungan dalam tempoh 30 minit.
Sementara itu, Saidatul Saadiah dari Sabah menjadi satu-satunya pemain yang memecahkan penguasaan skuad junior BAM apabila menewaskan wakil negara, Lee Kay Xin, 7-15, 17-15, 15-8 dalam perseorangan wanita.
Pertarungan selama 50 minit itu menyaksikan Saidatul bangkit selepas tumpas set pertama untuk menamatkan saingan dengan kejuaraan.